Ambang Tahun Baru 2020 Pahang meriah

Orang ramai teruja menyaksikan pertunjukan bunga api Ambang 2020.
Orang ramai teruja menyaksikan pertunjukan bunga api Ambang 2020.
A
A
A

KUANTAN - Sambutan ambang Tahun Baru 2020 peringkat negeri Pahang berlangsung meriah dengan perasmian pembukaan Night Mini Zoo Teruntum dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) di Mini Zoo Teruntum malam tadi.

Program yang berlangsung seawal jam 8 malam digamatkan dengan pelbagai acara antaranya ceramah agama, persembahan pentomim dan koir serta gimik pelancaran membabitkan haiwan zoo di pentas utama.

Ketua Unit Mini Zoo Teruntum, Muhammad Ifwat Zulkifly berkata, berdasarkan jualan tiket pada malam ini pihaknya menganggarkan lebih 3,000 hadir menyertai sambutan Tahun Baru 2020.

Menurutnya, program itu yang mendapat kerjasama daripada beberapa pihak antaranya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang (Motac); Majlis Perbandaran Kuantan; Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Pahang; Gambang Safari Resort, Zoo Kemaman dan badan bukan kerajaan (NGO).

Gimik pelancaran Night Mini Zoo Teruntum menggunakan musang belut.
Gimik pelancaran Night Mini Zoo Teruntum menggunakan musang belut.

"Program ini dimulakan dengan bacaan doa dan persembahan pentas seperti pentomim yang menceritakan tentang perawatan haiwan disusuli ceramah agama.

"Gimik ketibaan perasmi majlis iaitu Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abd Rahim Muda yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaksanakan penuh keunikan apabila beliau disambut dengan menaiki kereta kuda.

"Pada gimik pelancaran pula, musang belut digunakan sebagai simbolik disusuli montaj Visit Malaysia 2020," katanya ketika ditemubual secara langsung menerusi Facebook Live Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Md Shah.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin; Pengarah Motac, Datuk Edrus Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Muhammad Ifwat berkata, lebih 20 hadiah cabutan bertuah disediakan dengan cabutan utama sebuah motosikal yang ditaja Parlimen Sungai Besar selain barangan elektrik termasuk peti ais dan barangan sukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!