RSF fail aduan kedua kepada ICC kes kematian wartawan di Gaza
REPORTERS Without Borders (RSF) memfailkan aduan kedua kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang yang dilakukan tentera Israel terhadap wartawan Palestin di Gaza.
Aduan terbaharu kumpulan kebebasan akhbar yang berpangkalan di Paris itu difailkan pada Jumaat lalu bagi meminta mahkamah di Hague itu menyiasat kematian tujuh wartawan Palestin yang terbunuh di kawasan yang dikepung dari 22 Oktober hingga 15 Disember.
Senarai wartawan termasuk pembunuhan jurukamera Arab Al Jazeera, Samer Abudaqa minggu lalu.
Dalam satu kenyataan, RSF berkata, pihaknya mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa wartawan yang dinamakan dalam aduan ini adalah mangsa serangan dalam jenayah perang.
Jelasnya, wartawan ini mungkin sengaja disasarkan oleh Israel dan RSF menyifatkan kematian mereka disengajakan melibatkan orang awam.
RSF memfailkan aduan ICC pertamanya sejak perang bermula pada 31 Oktober atas kematian tujuh wartawan lain.
Kumpulan itu telah mengesahkan kematian 66 wartawan Palestin sejak 7 Oktober apabila serangan Israel bermula.
Wartawan lain yang dinamakan dalam aduan RSF ialah Asem Al-Barsh, wartawan radio Al Najah yang terbunuh oleh tembakan penembak tepat dan rakannya Bilal Jadallah dari kumpulan media Press House-Palestine yang menjadi mangsa serangan peluru berpandu ke atas keretanya.
Montaser Al-Sawaf, jurukamera Agensi Anadolu Turki dan wartawan foto Rushdi Al Siraj turut terbunuh dalam serangan udara Israel di rumah mereka.
Menurut RSF, Hassouna Salim dari agensi Berita Quds terbunuh akibat peluru berpandu selepas menerima ancaman bunuh dan wartawan foto Sari Mansour meninggal dunia dalam serangan yang sama,
RSF berkata, ia turut menyokong aduan yang difailkan oleh Al Jazeera mengenai penembakan maut wartawan Palestin, Shireen Abu Akleh di Jenin di utara Tebing Barat, pada 11 Mei 2022.
Menyasarkan wartawan adalah jenayah perang di bawah Perkara 8 Statut Rom. - Awani/Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!