Jutawan Britain beli 25 peratus pegangan dalam Manchester United

Sir Jim Ratcliffe bersetuju membeli 25 peratus pegangan dalam Manchester United dengan harga kira-kira £1.03 bilion. - Foto: Reuters
Sir Jim Ratcliffe bersetuju membeli 25 peratus pegangan dalam Manchester United dengan harga kira-kira £1.03 bilion. - Foto: Reuters
A
A
A

JUTAWAN Britain, Sir Jim Ratcliffe bersetuju membeli 25 peratus pegangan dalam Manchester United dengan harga kira-kira £1.03 bilion.

Dengan pembelian itu, Kumpulan Ineos milik Ratcliffe akan mengawal operasi bola sepak kelab itu.

Individu berusia 71 tahun itu juga akan menyediakan £236 juta untuk pelaburan masa depan ke dalam stadium Old Trafford kelab itu.

Pengumuman itu dibuat 13 bulan selepas pemilik kelab, keluarga Glazer, menyatakan mereka sedang mempertimbangkan untuk menjualnya bagi "meneroka alternatif strategik".

Keluarga Amerika itu membeli Manchester United dengan harga £790 juta pada 2005.

Satu-satunya pembida lain yang mengisytiharkan secara terbuka, jurubank Qatar, Sheikh Jassim Hamad Al Thani menarik balik tawarannya untuk membeli 100 peratus kelab itu pada bulan Oktober.

United bergelut di atas padang musim ini dan tidak memenangi Liga Perdana (EPL) sejak 2013, sementara terdapat bantahan tetap terhadap pemilikan Glazers.

Ratcliffe kelahiran Manchester ialah pengerusi syarikat petrokimia Ineos. Katanya, beliau "penyokong sepanjang hayat kelab" itu.

Artikel Berkaitan:

Tahun lepas, beliau telah mencuba namun gagal untuk membeli Chelsea.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, walaupun kejayaan komersial kelab memastikan sentiasa ada dana untuk memenangi trofi di peringkat tertinggi, potensi ini belum dibuka sepenuhnya sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pihaknya akan membawa pengetahuan global, kepakaran dan bakat daripada kumpulan Ineos Sport untuk membantu memacu peningkatan selanjutnya di kelab itu.

Tambahnya, beliau akan kekal untuk jangka panjang dan menyedari banyak cabaran dan kerja keras menanti di hadapan, namun ia akan dihadapi dengan profesionalisme dan bersemangat.

Ratcliffe juga komited untuk bekerjasama dengan semua pihak di kelab itu termasuk lembaga pengarah, kakitangan, pemain dan peminat untuk membantu memacu kelab ke hadapan.

Beliau juga melaungkan cita-cita untuk melihat Manchester United kembali ke tempat asal iaitu di puncak bola sepak Inggeris, Eropah dan dunia.

Sementara itu, Manchester United berkata, perjanjian itu "tertakluk kepada kelulusan peraturan biasa" tetapi "berharap ia akan diselesaikan secepat mungkin".

Pada mulanya akan ada proses enam hingga lapan minggu untuk perjanjian itu disahkan, termasuk ditandatangani oleh EPL.

Peminat yang menentang penglibatan berterusan Glazers di United telah mengadakan beberapa siri protes di dalam dan luar Old Trafford sepanjang 12 bulan terakhir.

Dekad yang lalu, sejak pengurus legenda Sir Alex Ferguson bersara pada 2013, telah menyaksikan ketidakkonsistenan di atas padang walaupun perbelanjaan perpindahan yang tinggi dan beberapa pengurus terkenal diupah dan dipecat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!