Perdasama saran kaji alternatif terbaik tak laksana PKP
SHAH ALAM - Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menyarankan agar kerajaan mengkaji alternatif yang lebih baik berhubung kenaikan kes Covid-19 tanpa perlu kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon berkata, pihaknya sedia maklum mengenai situasi terkini kes Covid-19 dalam negara dan di peringkat global.
Menurutnya, sebarang bentuk pelaksanaan PKP dilihat hanya akan menrencatkan proses pemulihan sedia ada.
“Seluruh dunia termasuk Malaysia masih dalam proses pemulihan ekonomi.
“Media massa telah melaporkan terdapat kemungkinan berlakunya lonjakan kes susulan pergerakan dan perjumpaan semasa musim perayaan serta cuti umum,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Setakat 23 Disember lalu, data terkini Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi portal KKM Now mencatatkan angka 33,285 kes aktif dengan pertambahan 121 kes baharu.
Justeru, Perdasama Nasional meminta setiap ahli persatuan, usahawan dan seluruh rakyat di negara ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Tambahnya, ia termasuk melakukan pengamalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek) dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera di peranti masing-masing.
“Kami yakin dengan kemampuan kerajaan dalam menangani peningkatan kes Covid-19 secara efektif di negara ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!