Lebih 40,000 saman ubah suai motosikal direkodkan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 43,157 saman direkodkan membabitkan kesalahan ubah suai motosikal pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, statistik bermula Januari hingga November itu mendapati kesalahan ubah suai ekzos adalah paling tinggi iaitu 33,996 saman.
"Diikuti kesalahan bagi ubah suai struktur dan kelengkapan (9,106 saman), ubah suai struktur dan peralatan (52 saman) serta ubah suai penggunaan kenderaan (3 saman).
"Kesalahan mengubahsuai speksifikasi kenderaan terutamanya motorsikal boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah Lalulintas LN170/59," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, semua kenderaan yang dipasarkan di Malaysia telah diperakui spesifikasi keselamatan oleh bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Katanya, tindakan mengubahsuai spesifikasi motosikal akan mengundang kemalangan kepada diri pengguna dan pengguna jalan raya lain.
Tegas beliau, operasi motosikal adalah salah satu operasi yang dijalankan secara berkala daripada lapan operasi penting bagi JSPT.
"Ianya dilaksanakan berdasarkan statistik kemalangan yang melibatkan motosikal," ujarnya.
Justeru itu, kata Mohd Azman, JSPT akan terus melaksanakan penguatkuasaan ke atas motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.
"JSPT mengharapkan semua ibu bapa agar memantau dan menegur anak-anak mereka yang mengubah suai spesifikasi motosikal kerana ianya merupakan kesalahan lalu lintas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!