Banjir: Penduduk cemas air naik mendadak
RANTAU PANJANG - Hujan tanpa henti sejak Ahad menyaksikan beberapa buah kampung di sini ditenggelami banjir susulan peningkatan mendadak paras air sekali gus mengundang rasa cemas dalam kalangan penduduk.
Penduduk di Kampung Bukit Tandak, Sarifah Radiatul Abdul Hamid, 54, berkata, peningkatan paras air yang disifatkan begitu cepat dapat dilihat pada jam 8 pagi selepas ia melimpah ke atas jalan raya.
"Sekarang ini saya tidak dapat pulang ke rumah kerana paras air mencecah 0.3 meter.
"Bagaimanapun, saya bersyukur dapat menghabiskan jualan nasi berlauk pada pagi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.
Dia memberitahu, melihat kepada keadaan cuaca sekarang tiada harapan untuk dia pulang ke rumah.
Ujarnya, demi keselamatan dia serta suami dan dua anak akan menumpang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Piah sehingga air surut.
Bagi penduduk Kampung Kubang Kuar, Zakanor Ibrahim, 52, pula dia baharu pulang bermalam di rumah selama dua malam selepas hampir seminggu berada di PPS.
"Kalau diikutkan ini kali ketiga kami sekeluarga berpindah dalam bulan Disember.
"Banjir kali ini lebih mencemaskan kerana air naik terlalu cepat, tidak sampai sejam sudah melimpah ke dalam rumah," katanya.
Menurutnya, sudahlah sebelum ini sudah berhadapan dengan banjir termenung yang lama, sekarang perlu pulang kembali ke PPS.
Sementara itu, penduduk Kampung Gual Mekong, Nurisan Ahmad, 38, memberitahu, dia dan keluarga memilih berpindah awal kerana air naik terlalu cepat dan suaminya, Mat Sakimin Ibrahim, 30, hampir terperangkap di dalam rumah.
"Mujurlah ada perahu penduduk yang boleh dipinjam untuk meredah banjir dan berpindah ke tempat selamat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!