Mohon maaf berulang kali sebelum dikhuatiri lemas
RANTAU PANJANG - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun berulang kali memohon maaf pada rakan-rakannya sebelum dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Petai Dusun di sini pada Ahad.
Nur Damia Qaisara Mohd Sabre yang merupakan murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial itu masih lagi belum ditemui, manakala rakannya, Siti Aisyah Mazi, 11, meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam alur sungai.
Ibu Nur Damia Qaisara, Sarah Adnan, 32, berkata, sebelum kejadian, rakan-rakan anaknya memaklumkan anak sulung daripada tiga beradik itu berulang kali memohon maaf kepada mereka.
"Pada masa sama, dia memaklumkan kepada saya hendak keluar melihat air.
"Pada awalnya saya tidak mengizinkan, tetapi Nur Damia Qaisara memberitahu ingin menghantar Siti Aisyah pulang ke rumah.
"Kebetulan rumah rakannya itu berhampiran dengan lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurutnya, semasa kejadian, anak sulung itu turut membawa adiknya berusia dua tahun bersama.
Ujarnya, bagaimanapun anak bongsu terselamat kerana ada bersama rakan Nur Damia Qaisara semasa kejadian.
Sarah memberitahu, lebih memilukan apabila dia melihat video terakhir anaknya itu yang sempat dirakam sebelum terjatuh ke dalam alur sungai.
"Saya dan suami berada di lokasi kejadian sehingga jam 3 pagi.
"Kami berharap Nur Damia Qaisara ditemui dalam apa jua keadaan," katanya.
Sinar Harian Online sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Petai Dusun di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Siti Aisyah Mazi, manakala rakan mangsa, Nur Damia Qaisara Mohd Sabre juga berusia 11 tahun dikhuatiri lemas dan sehingga sekarang belum ditemukan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, Siti Aisyah telah diselamatkan oleh penduduk dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
"Maklumat awal mendapati kedua-dua mangsa telah bermain air banjir dan tergelincir sebelum dibawa arus," katanya pada Isnin.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dilakukan oleh pihak polis dan bomba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!