Kes bunuh, tanam mayat: Lima lagi individu diberkas
GOMBAK - Lima lagi individu diberkas untuk siasatan kes bunuh dan tanam mayat lelaki di belakang sebuah rumah di Sungai Choh, Rawang di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun.
"Kesemua lima suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut juga masih dijalankan mengenai dakwaan kejadian berlaku akibat perselisihan faham berkenaan gambar atau video bogel teman wanita mangsa," katanya pada Isnin.
Tambah beliau, bedah siasat mayat mangsa berusia 19 tahun itu telah selesai di Hospital Kuala Lumpur pada petang Ahad.
Jelasnya, terdapat kesan cedera, luka dan lebam di kepala dan seluruh badan, namun punca kematian belum disahkan sementara menunggu ujian makmal.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kematian seorang pemuda dipercayai akibat perselisihan faham dengan ahli keluarga teman wanitanya dalam kejadian pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa lelaki tempatan itu dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi.
Susulan itu, polis telah menahan tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun disyaki terlibat dalam kes terbabit.
Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262242.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!