Banjir: Tiga laluan di Kota Tinggi-Mersing sudah boleh guna
KOTA TINGGI - Tiga laluan di Kota Tinggi-Mersing melibatkan Kilometer (KM) 51 Jalan Johor Bahru-Mersing (kilang sawit-Jambatan Sungai Mupur, KM43.0 Jalan Lok Heng-Mawai (Sungai Semalok/ Tugu Udang dan Jalan Mawai Lama (sebelah Rumah Burung) kini boleh dilalui orang ramai.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, berdasarkan kepada laporan, kesemua laluan tersebut dinaiki banjir setinggi 0.15 meter.
"Laluan di KM51 Jalan Johor Bahru-Mersing (kilang sawit-Jambatan Sungai Mupur, disahkan boleh digunakan kerana air telah surut sepenuhnya.
"Bagi laluan KM43.0 Jalan Lok Heng-Mawai (Sungai Semalok/ Tugu Udang pula menunjukkan paras air di ke dalaman 0.1 meter (m) pada jarak 20m dan dua lorong dibuka di sini bagi laluan semua kenderaan.
"Bagaimanapun, Jalan Mawai Lama (sebelah Rumah Burung) hanya dibuka kepada kenderaan berat susulan air banjir di situ mencatatkan kedalaman 0.5m sejauh 200 meter," katanya dalam satu kenyataan pada petang Isnin.
Sebelum ini pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika melalui Jalan Kota Tinggi-Mersing susulan tiga berkenaan dinaiki air setinggi 0.15 meter susulan hujan lebat sejak pagi Isnin.
Polis akan terus memantau keadaan banjir di sekitar Kota Tinggi berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologist Malaysia (METMalaysia) yang memberikan amaran mengenai fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula mulai November 2023 sehingga Januari 2024.
Polis turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada ketika memandu terutamanya ketika hujan dan melalui air bertakung.
Orang ramai juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa selain cakna dengan papan tanda amaran banjir yang disediakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!