Tiada permohonan anjur piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ - Polis
KUALA LUMPUR - Polis setakat ini tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ yang akan diadakan di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat di sini, bermula esok hingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan permit daripada penganjur Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) bagi mengadakan piket berkenaan.
Sementara itu, SSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan piket yang membabitkan 48 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan secara aman, sebagai respons rakyat Malaysia yang cintakan keamanan terhadap krisis genting yang menuntut tindakan segera.
Piket itu bertujuan menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, gencatan senjata dilaksanakan segera, kekal dan tanpa syarat, menghentikan pertempuran untuk menangani keperluan segera orang awam di Gaza dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk sebuah negara berdaulat.
Menurut SSP, piket itu yang disertai aktivis dari organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik dari pelbagai spektrum akan berkumpul di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat selama enam hari.
"Aksi bertindak ini akan diadakan secara aman. Kami (SSP) akan membuka khemah dan tinggal di khemah sepanjang piket, selain mengadakan acara-acara solidariti setiap malam dan memasang bendera dan simbol perjuangan rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
SSP menyasarkan 30 hingga 50 peserta esok, dan menjangkakan jumlah itu akan bertambah pada hari berikutnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!