Lokasi popular di ibu negara jadi tumpuan sempena cuti umum

Keadaan di sekitar Jalan Bukit Bintang agak sesak berikutan orang ramai mengambil peluang bersiar-siar. - Foto Bernama
Keadaan di sekitar Jalan Bukit Bintang agak sesak berikutan orang ramai mengambil peluang bersiar-siar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cuti persekolahan dan cuti umum sempena sambutan Krismas dimanfaatkan sebaiknya oleh orang ramai untuk mengunjungi tempat-tempat popular dan ikonik sekitar ibu kota, yang secara tidak langsung menyebabkan pertambahan jumlah kenderaan di beberapa jalan di sini.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi tumpuan pelancong seperti di Taman Burung Kuala Lumpur, Zoo Negara, KLCC dan Menara Kuala Lumpur ‘diserbu’ sejak awal pagi oleh pengunjung yang membawa bersama anak-anak mereka untuk bersiar-siar.

Kanak-kanak gembira ketika dibawa beriadah sempena cuti persekolahan dan cuti umum perayaan Krismas di Taman Botani Perdana. - Foto Bernama
Kanak-kanak gembira ketika dibawa beriadah sempena cuti persekolahan dan cuti umum perayaan Krismas di Taman Botani Perdana. - Foto Bernama

Beberapa pusat beli-belah utama dan kawasan perniagaan seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman juga padat dengan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan tertentu pada harga promosi sempena jualan akhir tahun.

Perkara sama turut berlaku di stesen-stesen perkhidmatan rel seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel yang kelihatan sesak terutama golongan muda yang lebih selesa memilih perkhidmatan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Bagi Mazri Ishak, 33, dari Muar, Johor berkata dia memilih untuk bercuti di ibu negara bersama isteri serta anak-anak, dan membawa mereka ke tempat ikonik seperti ke Zoo Negara dan Planetarium Negara.

Zoo Negara menjadi tumpuan orang ramai menghabiskan cuti umum. - Foto Bernama
Zoo Negara menjadi tumpuan orang ramai menghabiskan cuti umum. - Foto Bernama

"Sambil singgah ziarah saudara-mara yang ada di Lembah Klang, kami ambil peluang membawa anak-anak ke tempat-tempat menarik yang dapat memberi pengetahuan secara tidak langsung kepada anak-anak seperti Planetarium Negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga sempat membawa keluarga menaiki bas dua tingkat, KL Hop-On Hop-Off bagi meneroka keindahan pusat bandar raya pada waktu malam,” katanya yang bertugas sebagai guru.

Sementara itu, seorang peniaga restoran, Amru Ishak, 40, dari Ampang berkata, melihatkan kekurangan pelanggan sejak dua hari lepas, dia tidak melepaskan peluang untuk membawa anaknya bersiar-siar di Taman Burung.

"Saya baru buat keputusan semalam untuk datang sini selepas melihat trend pelanggan kurang ke restoran sejak kelmarin. Mungkin sebab ramai yang sudah keluar dari Kuala Lumpur untuk bercuti atau balik kampung.

"Walaupun ia hanya sekejap dan tidak bercuti luar dari Lembah Klang, ia sudah memadai dan cukup untuk menghilangkan bosan anak-anak saya,” katanya.

Orang ramai mengambil peluang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada cuti umum sempena perayaan Hari Natal ketika tinjauan di pusat beli-belah Suria KLCC pada Isnin. - Foto Bernama
Orang ramai mengambil peluang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada cuti umum sempena perayaan Hari Natal ketika tinjauan di pusat beli-belah Suria KLCC pada Isnin. - Foto Bernama

Pemandu kenderaan e-hailing, Mohd Azril Ahmad, 38, mengakui tempahan pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu di sekitar ibu negara meningkat sehingga dua kali ganda berbanding hari biasa.

"Jika waktu cuti umum yang panjang, anggaran untuk pemandu e-hailing boleh dapat trip (tempahan) sehari antara 25 hingga 30 trip dengan komisen kasar boleh mencecah sehingga RM500 sehari.

Pusat beli-belah The Exchange TRX turut menjadi tumpuan ramai. - Foto Bernama
Pusat beli-belah The Exchange TRX turut menjadi tumpuan ramai. - Foto Bernama

"Walaupun perkhidmatan e-hailing agak tinggi berikutan permintaan sangat ramai ketika ini, tapi pelanggan masih memilihnya kerana selesa, tanpa perlu fikir parkir dan tidak perlu transit ke mana-mana tempat berbanding menggunakan pengangkutan awam lain,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!