Penduduk Kampung Kelewek mahu longkang dibina di Jalan Jedok
TANAH MERAH - Penduduk Kampung Kelewek meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) segera membina longkang di Jalan Jedok, di sini bagi menangani banjir di kawasan berkenaan.
Mohd Ridho Ibrahim, 42, yang tinggal kira-kira 20 meter dari jalan itu berkata, kawasan berkenaan akan dilimpahi air sekiranya hujan lebat berterusan selama sejam.
"Untuk tahun ini sahaja, sudah tujuh hingga lapan kali rumah saya dinaiki air apabila hujan lebat kerana tiada sistem perparitan di kawasan sekitar kampung ini," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya pada Isnin.
Mohd Ridho berkata, keadaan yang berlaku sejak tiga tahun lepas itu menjejaskan lebih 10 keluarga di situ.
Seorang lagi penduduk, Aizat Seman, 31, berkata, pembinaan longkang itu penting supaya air yang melimpah di jalan terbabit dapat disalurkan ke Sungai Manal, kira-kira satu kilometer dari kawasan penempatan mereka.
"Saya harap pembinaan longkang ini dapat dilakukan secepat mungkin kerana bukan sahaja dapat mengelak banjir malah mampu menyelamatkam nyawa pengguna jalan raya," katanya.
Tinjauan Bernama sepanjang jalan berkenaan mendapati pengguna tidak berani mengambil risiko melaluinya kerana telah dinaiki air hingga paras lutut kira-kira sepanjang 300 meter dan terpaksa menggunakan laluan alternatif. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!