Air naik mendadak, tiga pekerja rumah pam pasir terperangkap banjir

Salah seorang mangsa banjir sempat memanjat pokok untuk berpaut setelah rumah pam pasir berhampiran sungai di Hutan Lipur Lata Tembakah, Jerteh di Besut dinaiki air. - Foto Bomba
Salah seorang mangsa banjir sempat memanjat pokok untuk berpaut setelah rumah pam pasir berhampiran sungai di Hutan Lipur Lata Tembakah, Jerteh di Besut dinaiki air. - Foto Bomba
A
A
A

BESUT - Anggota penyelamat berjaya memindahkan tiga pekerja rumah pam pasir yang terperangkap setelah lokasi mereka berada berhampiran sungai di Hutan Lipur Lata Tembakah, Jerteh di sini dinaiki air secara mendadak pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.30 petang dan menggerakkan seramai 10 anggota penyelamat ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi kita dapati dua mangsa berada di dalam rumah pam, manakala seorang lagi mangsa berada di atas pokok yang terletak kira-kira 3 meter dari rumah berkenaan.

"Semua mangsa bertindak menyelamatkan diri apabila paras air meningkat dengan mendadak di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan mereka terperangkap," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Anggota penyelamat tiba untuk membawa tiga pekerja rumah pam pasir yang terperangkap banjir ke lokasi selamat. - Foto: Bomba
Anggota penyelamat tiba untuk membawa tiga pekerja rumah pam pasir yang terperangkap banjir ke lokasi selamat. - Foto: Bomba

Menurutnya, mangsa terperangkap banjir ialah Muhamad Fikri Bukhari, 22; M Nue Zamzami Idris, 26, dan Mukriz Abu Bakar, 29.

Beliau berkata, disebabkan arus deras, pasukan penyelamat menggunakan bot whaly untuk ke lokasi kejadian.

"Keadaan arus yang deras menyebabkan pasukan penyelamat sukar untuk ke lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, usaha yang dilakukan berjaya membawa keluar kesemua mangsa dari lokasi berkenaan dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan," katanya.

Anggota penyelamat tiba di lokasi berkenaan menggunakan bot whaly untuk memindahkan tiga mangsa terperangkap banjir. - Foto Bomba
Anggota penyelamat tiba di lokasi berkenaan menggunakan bot whaly untuk memindahkan tiga mangsa terperangkap banjir. - Foto Bomba

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling dan segera berpindah sekiranya kawasan mereka berisiko banjir.

"Kita harap orang ramai tidak menangguh untuk berpindah sekiranya mendapati kawasan kediaman berisiko dinaiki air," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!