Usaha kekalkan semangat muafakat perlu bermula dari rumah - Bryan Ng

Ibu bapa memainkan peranan penting kerana anak-anak lazimnya mempelajari setiap amalan yang ditunjukkan oleh orang tua mereka. - Foto123RF
Ibu bapa memainkan peranan penting kerana anak-anak lazimnya mempelajari setiap amalan yang ditunjukkan oleh orang tua mereka. - Foto123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha memupuk semangat muafakat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu bermula dari rumah, kata Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Bryan Ng Yih Miin.

Beliau berkata, dalam hal ini ibu bapa memainkan peranan penting kerana anak-anak lazimnya mencontohi dan mempelajari setiap amalan serta percakapan yang ditunjukkan oleh orang tua mereka.

"...Kena mula dari rumah, ibu bapa sendiri kena ada kesedaran bahawa anak-anak mereka adalah seperti kertas putih, mereka belajar dari sekolah, kawan-kawan, tetapi yang paling memberi kesan kepada mereka adalah ibu bapa sendiri.

"Ibu bapa kena pertahankan kesejahteraan dan keamanan negara untuk masa depan anak-anak dan tidak boleh memainkan isu yang berbaur perkauman, kita kena beri kesedaran (kepada anak-anak) bahawa perkara ini tidak baik dan tidak boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Semai Perpaduan, Kekal Keharmonian’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, Ng mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang dimainkan oleh sesetengah pihak, terutamanya kumpulan laskar siber yang kerap mengetengahkan isu agama dan perkauman di laman maya.

"Kita kena ingatkan diri, jangan mudah terikut-ikut kumpulan macam ini. Sekiranya ada sebarang siaran yang berbaur elemen agama atau perkauman, jangan terlalu cepat kongsi, fikir dulu. Tanya diri sendiri, adakah yang diperkatakan itu benar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!