Hamas tidak akan tukar tebusan tanpa gencatan senjata
PASUKAN pejuang Hamas dari Palestin tetap dengan pendirian tidak akan menukar sebarang tahanan tanpa gencatan senjata sepenuhnya dan pengunduran Israel dari Gaza.
Dalam masa sama, wakil pertubuhan itu, Osama Hamdan dalam wawancara dengan agensi berita Al Jazeera menegaskan, laporan mengenai rancangan Mesir mengetuai perbincangan gencatan senjata yang meluas dengan Israel adalah tidak tepat.
“Saya perlu mengatakan apa yang anda bincangkan datang daripada sumber media. Masih ada idea yang diperkatakan. Pendirian jelas kami ialah tidak akan ada perbincangan mengenai pertukaran tahanan tanpa gencatan senjata sepenuhnya dan pengunduran Israel dari Gaza.
“Tiada siapa yang menerima rundingan - bukan Hamas, bukan orang lain. Jika ada sesiapa yang ingin mencari penyelesaian untuk rakyat Palestin, mereka harus bermula dengan menghentikan pembunuhan beramai-ramai. Ini adalah langkah pertama untuk mendapatkan apa-apa jenis pengaturan,” tegas Osama.
Osama juga menolak cadangan bahawa hanya 'panel pakar Palestin' boleh mentadbir Gaza sehingga pilihan raya diadakan untuk memilih pemimpin di Gaza dan seluruh wilayah Palestin.
“Siapa yang akan memimpin rakyat Palestin adalah isu dalaman Palestin. Rakyat mesti memilih kepimpinan mereka sendiri. Tiada siapa yang berhak untuk menentukan, bukan Amerika, Israel atau mana-mana pihak,” bidas Osama lagi. - Awani/Al Jazeera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!