Kerajaan didesak tidak pandang remeh prestasi ekonomi negara

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi mendesak kerajaan supaya tidak memandang remeh prestasi ekonomi negara dan bebanan kos hidup ditanggung rakyat yang didakwanya kini mencemaskan.

Menurutnya, nilai ringgit yang masih lemah, peluang pekerjaan terhad, kadar kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar antara cabaran perlu ditangani secara agresif.

"Kerajaan perlu mengetepikan dulu projek kereta terbang dan kereta nasional ketiga yang bukan keutamaan negara ketika ini.

"Rakyat kini bergelut dengan pelbagai himpitan, kerajaan perlu tampil dengan kebijakan ekonomi yang lebih meyakinkan," katanya menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.

Menurutnya, di sebalik ketidaktentuan ekonomi, isu-isu sensitif melibatkan kaum dan agama juga dilihat mencabar wibawa serta ketegasan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Penguasa politik, penggerak masyarakat serta pemegang taruh berkaitan perlu kembali mencari penyelesaian dan persefahaman secara matang dan rasional.

"Provokasi tidak akan menjernihkan situasi bahkan hanya menambah kekeruhan," katanya.

Beliau sebelum itu berkata, kejayaan rakyat menukar rejim pada tahun 2018 adalah pencapaian demokrasi paling membanggakan dalam sejarah Malaysia moden.

Bagaimanapun katanya, pentadbiran PH masih dilihat tidak cukup cakna dalam memenuhi komitmen manifesto serta kelihatan sengaja melengah-lengahkan proses peralihan jawatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Harus diingat, manifesto serta transisi jawatan Perdana Menteri adalah janji yang ditawarkan kepada rakyat tatkala PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

"Saya menaruh keyakinan dan optimis untuk melihat perubahan serta pembaharuan pihak kerajaan yang memberi impak positif dan manfaat kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Wawasan 2020 yang digagas 28 tahun lalu dipotretkan sebagai visi utama negara dalam usaha mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

"Ternyata masih banyak yang perlu dilakukan untuk merealisasikan visi ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!