Maut ditimpa dahan pokok

Lelaki maut ditimpa pokok yang ditebang di Sik pada Isnin. Foto pembaca
Lelaki maut ditimpa pokok yang ditebang di Sik pada Isnin. Foto pembaca
A
A
A

SIK - Seorang lelaki maut selepas ditimpa dahan pokok yang ditebang dalam kejadian di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar, di sini pada Isnin.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika kepala mangsa terkena dahan pokok terap yang patah sewaktu dia bersama sepupu menebang pokok berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa, Othman Kasim, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, berdasarkan keterangan pengadu yang juga sepupu mangsa, kejadian berlaku jam 6 petang ketika mereka sedang bergotong-royong menebang pokok berkenaan.

Beliau berkata, ketika arwah dan sepupunya sedang menarik pokok terap untuk ditebang, secara tiba-tiba dahan pokok itu patah dan terkena kepala mangsa.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa terus terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum penduduk kampung menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

"Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 6.40 petang," katanya.

Berikutan itu, sepupu mangsa yang berusia 42 tahun membuat laporan di Balai Polis Sik untuk memaklumkan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Abdull Razak berkata, hasil siasatan dilakukan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!