Selangor tutup tirai 2019 dengan pencapaian luar biasa

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor direkod menutup tirai tahun 2019 dengan beberapa pencapaian luar biasa termasuk mencatat hasil pelaburan sebanyak RM16.4 bilion melebihi sasaran RM10 bilion sebelum ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa jabatan termasuk dua pejabat daerah dan tanah, dua badan berkanun, dua agensi serta tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) juga berjaya mencapai prestasi 'cemerlang'.

"Kesemua 13 jabatan itu menunjukkan gerak kerja sangat baik dan tugas dilaksanakan dengan penuh amanah dan berintegriti sehingga mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hasil pelaburan yang tinggi diperoleh tahun ini membuktikan visi Selangor Negeri Pintar Utama Serantau berada dalam genggaman," katanya menerusi perutusan tahun baru hari ini.

Menurutnya, bahtera Selangor akan berlayar bagi mendepani tahun 2020 dengan penyempurnaan beberapa langkah yang dimulakan nakhoda terdahulu.

"Dengan tema Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat, beberapa strategi digariskan dalam Belanjawan Selangor 2020 sebelum ini.

"Inisiatif lama seperti Skim Peduli Sihat, Skim Air Darul Ehsan dan juga Skim Mesra Usia Emas dijajarkan semula dan diperkasa," katanya.

Menurutnya, beberapa program inovatif turut diperkenal termasuk biasiswa Selangor BITARA, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dan lain-lain untuk manfaat rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Dasar Kelulusan 100 Hari yang bakal dilaksanakan turut akan memudahkan dan menyaksikan 'ease of doing business' di Selangor dijangka mengekalkan negeri sebagai tempat teratas destinasi pelaburan utama di Malaysia.

"Begitulah serba sedikit apa yang akan kita alami nanti. Marilah kita memandang ke hadapan, melangkah bagaikan 'bunyamun marsus' barisan yang teratur rapi, seolah-olah bangunan yang tersusun kukuh bagi mencapai iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara terus membangun secara mampan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!