Tular kenderaan rasmi baharu didakwa untuk MB, Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu digesa menjelaskan status pembelian kenderaan rasmi baharu yang ditularkan di media sosial didakwa untuk kegunaan Menteri Besar dan barisan Exco.
Bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, kerajaan wajar mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan pembelian kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda bagi memastikan sama ada ia merupakan keperluan mendesak yang menjadi keutamaan buat masa ini.
"Ada tersebar gambar-gambar kereta SUV model Mazda sama ada CX5 atau CX8, saya tak dapat mengesahkan namun ia didakwa merupakan kereta baharu untuk ahli Exco.
"Kalau model CX5 harganya bermula RM138,000 hingga RM174,000. Kalau CX8 dari RM185,000 hingga RM200,000 dan ianya lebih murah jika mendapat pelepasan cukai oleh Kementerian Kewangan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Jelas Wan Hakim, pembelian kenderaan baharu itu tidak menimbulkan sebarang isu sekiranya ia termaktub dalam Belanjawan 2023.
Malah katanya ia lebih murah jika dibandingkan dengan kereta jenama Mercedes bernilai RM3.5 juta untuk kegunaan Exco kerajaan Kelantan pada 2020.
"Jika kerajaan beli melalui dana Terengganu Inc atau anak-anak syarikat dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah, tiada masalah dari segi tatacara dan peraturan.
"Yang menjadi isu ialah tatkala pembayaran dana khas hasil petroleum yang agak terhad dari Kerajaan Pusat (sepatutnya RM1.6 billion untuk 2023), adakah pembelian ini masih menjadi keperluan utama kerajaan?
"Bagaimana dengan bayaran-bayaran lain yang perlu dilunaskan oleh kerajaan negeri seperti di dalam Bajet 2023? Yang mana lebih utama? Rakyat atau Exco?," kata beliau.
Dalam pada itu, Wan Hakim turut mempersoalkan sama ada terdapat kontraktor-kontraktor dan pembekal-pembekal yang masih belum menerima bayaran oleh kerajaan negeri.
"Mereka juga perlu jelaskan adakah benar tahun depan cukai pintu kediaman akan mula dikutip disebabkan tekanan hasil pendapatan kerajaan yang semakin berkurangan.
"Adakah benar pelbagai caj berkaitan tanah juga dinaikkan untuk membantu tingkatkan pendapatan negeri yang semakin menurun?" soalnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kemaman mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan tiada pembangkang yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan.
"Bukankah saat ini kerajaan 'Terengganu 'wish', mereka menerima bayaran premium penuh dari NGO (badan bukan kerajaan) isteri-isteri wakil rakyat mereka atas pembelian tanah bernilai RM29 juta itu dan bukan diskaun khas sebanyak RM500,000 sahaja.
"Kalau dapat premium penuh jutaan ringgit, boleh saja beli kereta-kereta baharu untuk Exco tanpa menjejaskan kantung sedia ada yang semakin menguncup.
"Mungkin inilah hasilnya bila kerajaan tiada pembangkang, tiada semak dan imbang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!