10,000 Orang Asli Temiar di Gua Musang terputus hubungan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, penempatan itu melibatkan Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob, Pos Simpor dan Kuala Betis.
"Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis sejak Ahad untuk menempatkan kira-kira 100 mangsa daripada kaum Temiar yang terjejas dalam bencana tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.
Mohd Syahbuddin berkata, penduduk yang tidak terlibat dengan pemindahan tetapi terputus hubungan turut menerima bantuan bekalan makanan yang dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan lori yang dikendali anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak semalam berikutan peningkatan paras air yang hanya dapat dilalui oleh kenderaan tersebut.
"Kami pantau dari semasa ke semasa dengan pihak berwajib untuk memastikan agar segala keperluan dan bekalan makanan sampai ke rumah mereka yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, penduduk Orang Asli dari Kampung Jenot, Roma Manan, 37, berkata, selain berpindah ke PPS berhampiran, penduduk juga berlindung di atas bukit di Kampung Lambok, RPS Kuala Betis.
"Orang Asli yang tinggal berdekatan Sungai Betis telah membuat persediaan awal membina rumah perlindungan di atas bukit. Malah sejak hujan tidak berhenti kelmarin mereka semua telah mula berpindah ke sana,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!