2,500 warga asing ditipu ejen pekerjaan di Pengerang - Azalina
KOTA TINGGI - Dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan kini berada di Pengerang.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di hantaran X miliknya, susulan laporan media pada Isnin, mengenai ratusan warga Bangladesh yang berjalan beramai-ramai di Pengerang selepas didakwa ditipu ejen pekerjaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang memaklumkan telah menghubungi Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada Isnin, berhubung perkara itu.
"Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya telah menghubungi Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan saya dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira 2,500 pendatang yang ditipu ini berada di Pengerang.
"Pesalah di sebalik sindiket ini (ejen pekerjaan) perlu bertanggungjawab. Siasatan segera mesti dijalankan ke atas siapa yang mengeluarkan permit ini tanpa pekerjaan," katanya.
Menurut Azalina, sudah tiba masanya tindakan tegas diambil dan tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan asasi manusia dalam isu pekerja warga asing yang ditipu ejen.
"Syarikat yang terbabit juga harus disiasat untuk menentukan bagaimana pekerja asing yang sah boleh dieksploitasi dan terpikat dengan janji kerja di Malaysia. Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan.
"Kita tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Azalina turut memuji keprihatinan Menteri Sumber Manusia kerana segera menghulurkan bantuan kepada pekerja asing yang didakwa telah ditipu oleh ejen pengambilan yang berjanji untuk mendapatkan pekerjaan mereka.
I commend Human Resources Minister YB @scheekeong on extending assistance to migrant workers who have been allegedly duped by recruitment agents promising to secure them jobs.
— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) December 26, 2023
As MP Pengerang, I had reached out to YB Steven Sim as I am told that about 2500 of these duped...
Sebelum itu, pada Isnin polis mengesahkan video tular memaparkan warga asing yang berjalan beramai-ramai di Pengerang merupakan kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kesemua warga Bangladesh itu sudah ditahan.
Hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Warga asing tersebut hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.
"Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka masuk melalui jalan yang sah melalui ejen-ejen pekerjaan. Dianggarkan sudah tiga hingga enam bulan mereka tidak dapat sebarang pekerjaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!