Pindah si bulus selepas kawasan klinik haiwan banjir
PASIR MAS - Kakitangan sebuah klinik haiwan di bandar Lubok Jong di sini memindahkan kucing selepas kawasan perniagaan berkenaan dinaiki air awal pagi Isnin.
Tindakan segera itu juga bagi memastikan kesemua si bulus selamat dan kesihatan juga terjaga sepanjang berada di klinik.
Kakitangan klinik berkenaan, Anis Shafieqa Ashari, 26, berkata, pemindahan 25 ekor kucing bermula kira-kira jam 9 pagi selepas air mencecah 0.3 meter di sekitar kawasan premis.
Menurutnya, kesemua kucing itu diletakkan di tempat khas bagi menjaga keselesaan haiwan sepanjang berada di tingkat atas.
"Pihak klinik menyediakan beberapa bilik berasingan khusus untuk haiwan yang sedang dalam rawatan atau dihantar oleh pemilik untuk jagaan sementara di klinik ini," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Anis Shafieqa bersama beberapa rakan sekerja sebelum itu memastikan semua kucing yang perlu dipindahkan diberi makanan dan dibersihkan mengikut keperluan haiwan itu.
Katanya lagi, mereka juga perlu memaklumkan kepada pemilik mengenai keadaan kesihatan haiwan di bawah jagaan mereka melalui WhatsApp.
"Kami akan mengemaskini keadaan haiwan itu supaya pemilik tidak bimbang berikutan ada yang masih dalam rawatan," jelasnya lagi.
Jelasnya lagi, ada pemilik yang meninggalkan kucing di bawah jagaan klinik itu kerana rumah dinaiki air atau bimbang keselamatan jika kucing itu berada di rumah.
Selain itu, menurutnya, kejadian banjir pernah berlaku tahun lalu tetapi hanya melibatkan tingkat bawah iaitu sedalam kira-kira 0.4 meter.
Justeru, Anis Shafieqa berkata, mereka semua membuat persiapan lebih awal dengan mengemas bahagian bawah klinik itu dan memastikan keadaan selamat untuk semua haiwan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!