JELITA@RISDA ubah nasib wanita pelbagai peringkat usia
KOTA BHARU - JELITA@RISDA yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memberi harapan kepada golongan wanita di negara ini untuk mengubah nasib mereka.
Bermula dari usia 16 hingga 60 tahun, individu terbabit berpeluang menikmati platform Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) yang direka khas bagi memberi peluang kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai sektor.
Peserta, Nadziah Mohd Nasir, 56, berkata, dia sama sekali tidak percaya masih mampu mengikuti pengajian kemahiran walaupun usia sudah lebih lima dekad.
"Sebelum ini saya sudah mempunyai pengalaman dalam bidang spa dan kecantikan semenjak berusia 18 tahun. Melalui program ini saya berpeluang menambah kemahiran dalam bidang bekam.
"Bekam merupakan bidang baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada bidang kecantikan yang sedang saya usahakan. Dengan adanya SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) ini pelanggan akan lebih yakin untuk mendapatkan khidmat saya," katanya.
Menurutnya, sepanjang mengikuti JELITA@RISDA banyak perkara baharu dipelajari dalam membina lebih banyak keyakinan, kemahiran dalam keusahawan berkait kecantikan.
Dia nekad menggunakan segala ilmu yang dipelajari sepanjang mengikuti JELITA@RISDA untuk terus berdaya saing.
Bagi Wan Siti Nadia Wan Sharifudin, 28, berkata, JELITA@RISDA telah membantunya merealisasikan impian untuk bergelar jurugambar profesional yang diminati sejak kecil.
Katanya, sebelum ini dia hanya meminati bidang tersebut namun tidak mempelajari secara lebih serius.
"Bila ada program ini, saya minta izin dari suami untuk berulang alik dari Johor Bharu ke Kota Bharu semata-mata mahu mengikuti program ini.
"Alhamdulillah, pengorbanan selama empat bulan ini berbaloi sebaik sahaja berjaya menamatkan kursus ini dengan jayanya," ujar suri rumah itu.
Graduan lulusan Diploma Bahasa Inggeris dari Kolej Pelajaran Mara, Kuantan itu berkata, sejurus menamatkan kursus dia menjadi lebih yakin untuk bersaing di dunia sebenar.
Menurutnya, hal ini kerana bidang tersebut kebanyakan dimonopoli oleh golongan lelaki.
"Ilmu serta kemahiran yang saya perolehi ini diharap dapat membantu merealisasikan impian untuk menjadi jugambar profesional," katanya.
Sementara itu, Wan Nur Athirah Wan Osman, 25, berkata, program ini memberi nilai tambah kepadanya dalam meningkatkan lagi kemahiran dalam dunia pastri.
"Sebelum ini, saya hanya membantu ibu yang mengusahakan kek dan piza. Jadi dengan kemahiran ini dapatlah saya berdiri dengan sendiri untuk memulakan perniagaan dalam bidang pastri.
"Banyak kemahiran dan selok-belok berkait perkembangan terkini dunia pastri yang dipelajari sepanjang menyertai kursus ini," katanya.
Pemegang Ijazah Bahasa Arab serta sedang mengikuti pengajian Diploma Pendidikan itu berkata, dia mahu menggabungkan kemahiran yang dipelajari dari ibu dengan kursus ini untuk mengembangkan bakat dalam dunia pastri.
Ujar dia, peluang tersebut juga digunakan sebaik mungkin untuk menambahkan kenalan bagi berkongsi pengalaman masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!