Tiga anggota polis disambung reman, kes curi RM85,000

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga anggota polis yang ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes kecurian wang tunai berjumlah RM85,000 di sebuah premis di Lebuh Pudu, di sini, dalam Operasi Khas (Op Khas), disambung reman selama empat hari sehingga Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Saya nak tegaskan bahawa kita terus membuat siasatan selepas menerima maklumat insiden membabitkan tiga anggota dan menahan mereka.

“Jadi tiada isu hendak lindungi pegawai atau anggota kita (polis). Kita tidak akan bertolak ansur, kalau ada pegawai yang ditahan dan dituduh, kita akan menjalankan siasatan.

“Kalau ada asas kita akan tangkap mereka dan tidak akan melindungi pegawai atau anggota,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Kejadian itu tidak akan melemahkan pihaknya untuk menjalankan operasi terhadap penempatan warga asing.

Pada Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 12.36 tengah malam pada 22 Disember dan tiga anggota berusia 26 hingga 35 tahun yang dipercayai terbabit ditahan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek ditahan selama empat hari bermula 23 sehingga 26 Disember.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!