Amaran hujan berterusan tahap waspada di Terengganu, Pahang, Johor
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan berterusan di Terengganu melibatkan kawasan Dungun dan Kemaman, di Pahang membabitkan kawasan Jerantut, Kuantan, Pekan serta Rompin manakala di Johor lokaliti yang tersenarai adalah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana hari ini mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) di negeri-negeri terbabit diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan.
NADMA turut meminta JPBN dan JPBD meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
Selain itu, JPBN dan JPBD perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.
"Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
"NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!