Terputus 40 tahun, Iran mahu sambung hubungan diplomatik dengan Mesir

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BERLIN - Selepas hubungan yang tegang lebih 40 tahun, Iran berharap untuk menyambung semula hubungan diplomatik dengan saingan politiknya, Mesir.

"Rundingan memperlihatkan harapan yang baik setakat ini dengan kedua-dua negara berada pada kedudukan yang baik untuk mengatasi perbezaan sesama mereka ke arah membuka lembaran diplomatik baharu,” lapor agensi berita Jerman memetik jurucakap Kementerian Luar Iran Nasser Kanaani pada Isnin seperti yang dilaporkan oleh Tasnim, agensi berita Iran.

Jalinan semula hubungan itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua negara, bahkan kepada dunia Islam khususnya rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang berdepan konflik semasa, menurut Kanaani.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan rakan sejawatannya dari Mesir Abdel-Fattah al-Sissi bertemu buat kali pertama pada November di luar sidang kemuncak Islam di Riyadh, ibu negara Arab Saudi.

Menurut laporan media Iran, kedua-dua presiden bersetuju dengan pelan tindakan untuk menyelesaikan perbezaan masa lampau dan memudahcara hubungan yang semakin mesra.

Kedua-dua pemimpin itu bercakap melalui telefon minggu lepas untuk membincangkan perkembangan terkini di Semenanjung Gaza dan pelan tindakan, lapor pejabat presiden Iran.

Hubungan Tehran dan Kaherah tegang sejak empat dekad lalu.

Shah Iran terakhir Mohammad Reza Pahlavi, yang dibuang negeri dalam Revolusi Islam 1979, meninggal dunia di Mesir pada tahun berikutnya dan dikebumikan di Kaherah.

Artikel Berkaitan:

Walaupun kedua-dua negara telah membuka saluran diplomatik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka tidak bertukar-tukar duta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!