UNGA boleh gantung keanggotaan Israel - Penganalisis

Keadaan kerosakan di Gaza akibat serangan Israel. Foto AFP
Keadaan kerosakan di Gaza akibat serangan Israel. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) wajar mengundi untuk menggantung keanggotaan Israel, kerana tindakannya terus menyerang Gaza dan dasar-dasar Aparteid selama beberapa dekad terhadap rakyat Palestin, kata seorang penganalisis.

Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani di Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Nazari Ismail berkata, UNGA pernah mengambil keputusan yang sama untuk menggantung rejim Aparteid Afrika Selatan pada November 1974.

Keputusan itu secara berkesan menghalang Afrika Selatan daripada menyertai sebarang sesi di PBB, termasuk menduduki kerusinya, berhujah, membuat cadangan atau mengundi sehingga penggantungan itu ditarik balik pada 1994.

Walaupun langkah itu memberi impak yang kecil, Mohd Nazari percaya ia boleh menjadi langkah penting pertama untuk memulaukan rejim Zionis itu.

Gesaan itu dibuat di tengah-tengah kegagalan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menggesa gencatan senjata ketika jumlah kematian dan kemusnahan terus meningkat di Wilayah Palestin yang diduduki di Gaza dan Tebing Barat.

Dalam perkembangan terbaharu, UNSC meluluskan resolusi pada 22 Disember untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan segera ke Gaza selepas empat kali ditangguhkan sejak 18 Disember berikutan ketidaksepakatan Amerika Syarikat dalam bahasa yang digunakan pada draf dikemukakan oleh UAE.

Resolusi itu yang disokong oleh 13 daripada ahlinya manakala AS dan Rusia berkecuali, bagaimanapun tidak menyeru kepada gencatan senjata yang sangat diperlukan.

Mohd Nazari berkata, resolusi itu lemah kerana ia tidak menuntut Israel berhenti menyerang Gaza selain ketidakadilan terhadap rakyat Palestin akan berterusan dalam bentuk dasar-dasar dan amalan aparteid rejim Israel.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, negara lain juga boleh mengambil tindakan sepihak, termasuk boikot dan kenakan sekatan untuk menekan Israel supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.

Satu daripada contoh terbaik, katanya, adalah keputusan yang diambil oleh kerajaan Malaysia pada 20 Disember untuk melarang kapal milik Israel berlabuh di Malaysia.

"Negara-negara lain sepatutnya menamatkan semua hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel. Jika semua negara mengancam untuk keluar daripada PBB jika AS terus mengenakan veto pada undi UNSC terhadap Israel, itu juga bagus,” katanya.

Kesedaran Meningkat

Konflik terbaru Israel-Palestin yang bermula pada 7 Okt lepas telah menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum mengenai persoalan Palestin dan penindasan kejam yang dihadapi oleh rakyatnya di tangan rejim Zionis selama lebih tujuh dekad.

Beribu-ribu orang mengadakan demonstrasi aman di seluruh dunia dan memboikot perniagaan yang dikaitkan dengan rejim itu sebagai membantah kekejamannya.

Mohd Nazari yang juga Pengerusi gerakan Boycott, Divestment and Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) berpendapat masyarakat antarabangsa perlu memboikot Israel selagi ia terus melanggar undang-undang antarabangsa dan enggan memberikan hak asasi rakyat Palestin untuk kebebasan, keadilan dan kesamaan.

Berkongsi pandangan yang sama, Pengarah Pusat Asia Barat untuk Penyelidikan dan Dialog (Amec) Muslim Imran berkata adalah mustahil untuk mencapai keamanan yang berkekalan dan negara Palestin yang bebas dan merdeka jika Israel terus mengekalkan sistem aparteid ke atas rakyat Palestin.

"Penghapusan dasar aparteid adalah langkah pertama ke arah menamatkan penderitaan dan kesengsaraan berterusan rakyat Palestin.

"Dan adalah mustahil untuk berunding tanpa gencatan senjata," katanya.

Tahun Paling Berdarah

Tahun 2023 akan berakhir sebagai tahun tumpah darah paling buruk dalam sejarah konflik Palestin-Israel.

Lebih 20,000 orang - 70 peratus daripada mereka wanita dan kanak-kanak telah terbunuh dan lebih 54,000 cedera manakala sekurang-kurangnya 7,000 lagi dilaporkan hilang atau tertimbus di bawah runtuhan dalam serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang bermula lebih dua bulan lalu.

Kira-kira 85 peratus daripada penduduk atau 1.9 juta orang di Semenanjung Gaza dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat konflik Israel-Hamas.

Terdapat juga kemusnahan meluas ke atas kediaman dan infrastruktur kritikal lain termasuk hospital, selain kekurangan makanan, bahan api, air dan ubat-ubatan yang serius di wilayah yang dikepung itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!