Kembar tertukar tag nama

Pasangan kembar Muhammad Akif Zikry (kiri) dan adiknya Muhammad Akil Zarif.
Pasangan kembar Muhammad Akif Zikry (kiri) dan adiknya Muhammad Akil Zarif.
A
A
A

KOTA BHARU - Ragam sepasang kembar lelaki memulakan sesi persekolahan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 di sini hari ini mencuit hati guru dan ibu bapa apabila tertukar tag nama.

Lebih melucukan apabila wajah mereka yang seiras menyebabkan kekeliruan dan kesukaran untuk membezakan kedua-duanya.

Pasangan kembar tersebut, Muhammad Akif Zikry Mohd Zohor dan adiknya, Muhammad Akil Zarif tiba di sekolah itu pada jam 7 pagi sambil disambut warga pendidik bersama tiga maskot animasi, Bugs Bunny, Pink Panther dan Pooh yang menggamatkan suasana.

Tag nama mereka disedari tertukar ketika seorang guru memanggil nama Muhammad Akif Zikry berdasarkan tag yang dipakai sebelum kanak-kanak itu menggeleng kepala dan menunjukkan ke arah abangnya, Muhammad Akif Zikry.

Muhammad Akif Zikry pula ketika itu memakai tag Muhammad Akil Zarif.

Faridah (kiri) membantu membetulkan tag nama Muhammad Akif Zikry sambil diperhatikan Tuan Amsyar Rasul, Tuan Ammar Rasul dan Muhammad Akil Zarif.
Faridah (kiri) membantu membetulkan tag nama Muhammad Akif Zikry sambil diperhatikan Tuan Amsyar Rasul, Tuan Ammar Rasul dan Muhammad Akil Zarif.

Guru kelas mereka, Faridah Mohd Daud kemudian membantu menukarkan tag nama itu dan memberitahu akan menambah pelekat berwarna pada salah satu tag pasangan kembar itu bagi memudahkan mereka mengenali ejaan nama sendiri.

Guru Besar SK Kubang Kerian 3, Muzli Mustapha berkata, selain pasangan itu, terdapat pasangan kembar lelaki, Tuan Amsyar Rasul Tuan Azman dan Tuan Ammar Rasul yang turut memulakan sesi persekolahan Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi itu.

Artikel Berkaitan:

“Mereka ditempatkan bersama dengan pasangan masing-masing di dalam dua kelas bagi memudahkan proses mendidik dan memantau ketika sesi pembelajaran berlangsung.

“Sekolah ini menerima banyak permohonan daripada ibu bapa. Tahun ini terdapat 1,509 murid termasuk Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI), Pra Sekolah dan arus perdana bagi sesi persekolahan tahun 2020,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Selamat Datang Murid Tahun 2020 di dewan di sekolah itu hari ini.

Muzli (kanan) bersama Prof Madya Dr Ariffin (kiri) dan Kamaruzaman beramah mesra dengan dua pasangan kembar terbabit.
Muzli (kanan) bersama Prof Madya Dr Ariffin (kiri) dan Kamaruzaman beramah mesra dengan dua pasangan kembar terbabit.

Hadir sama Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Kamaruzaman Dollah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kubang Kerian 3, Profesor Madya Dr Ariffin Nasir.

Menurutnya, penampilan maskot adalah tradisi sekolah yang diteruskan sejak lima tahun lalu bertujuan mengurangkan perasaan gemuruh dan takut dalam kalangan murid baharu.

“Idea membawa watak kegemaran kanak-kanak pada hari pertama persekolahan ini dicetuskan bekas guru besar, Seri Dewi Mohd Ibrahim bermula 2015 sebagai daya penarik dan untuk menghilangkan kesedihan murid Pra Sekolah dan tahun satu yang baru 'berpisah' dengan ibu bapa.

“Usaha ini diteruskan sebagai didikan walaupun bertukar pentadbiran kerana dilihat sangat berkesan untuk meningkatkan keyakinan murid pada hari pertama persekolahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!