Budak perempuan maut kemalangan selepas 9 jam bertarung nyawa

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Rakit, Kota Marudu.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Rakit, Kota Marudu.
A
A
A
KOTA MARUDU - Selepas sembilan jam bertarung nyawa, seorang kanak-kanak perempuan menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Kota Marudu di sini pada awal pagi Selasa.

Mangsa, Rebecca Grace Tintingon, 9, dilaporkan meninggal dunia pada jam 2 pagi selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit dalam kejadian di Jalan Rakit, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, kemalangan berlaku pada jam 4.55 petang membabitkan kenderaan jenis Isuzu D-Max yang dipandu wanita berusia 48 tahun dan lori tiga tan yang dipandu lelaki berusia 43 tahun.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati lori dari arah Kampung Talantang menuju ke Langkon dengan membawa muatan kelapa sawit manakala kenderaan pacuan empat roda pula dipandu dari Penampang menuju ke Kanibungan, Pitas.



"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian depan lori sebelum lori tersebut terpusing dan terbabas di kiri jalan dan pacuan empat roda terbalik di kanan jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori tiga tan.
Keadaan kenderaan pacuan empat roda remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori tiga tan.



Katanya lagi, akibat kejadian itu menyebabkan seramai sembilan mangsa telah dikejar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kesemua mangsa termasuk kedua-dua pemandu dan penumpang dalam kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, salah seorang mangsa yang juga merupakan anak pemandu kenderaan pacuan empat roda dilaporkan meninggal dunia pada jam 2 pagi semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital," katanya.

Zairolnizal berkata, punca kemalangan dipercayai pemandu kenderaan pacuan empat roda gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlakunya pertembungan.

Artikel Berkaitan:


"Kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!