Venue sukan berbasikal: Kedah berpotensi, saran bina velodrom mini

Muhammad Radhi (tiga, kiri) dan Hannah (tengah) bersama pelapis dan atlet Skuasy Kedah ketika majlis penyerahan Pusat Skuasy Kedah pada Isnin lepas.
Muhammad Radhi (tiga, kiri) dan Hannah (tengah) bersama pelapis dan atlet Skuasy Kedah ketika majlis penyerahan Pusat Skuasy Kedah pada Isnin lepas.
A
A
A

KEDAH berpotensi dijadikan venue sukan berbasikal bagi wilayah Utara dalam menyediakan kemudahan sukan kepada atlet kebangsaan.

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din mencadangkan agar dibina sebuah velodrom mini di negeri ini memandangkan kemudahan sedia ada di Perak sudah berusia.

Menurutnya, cadangan itu disifatkan bertepatan kerana Kedah turut melahirkan beberapa atlet berbasikal yang menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Kedah layak dijadikan venue sukan berbasikal sebab di Utara tidak ada langsung kemudahan itu.

“Kita juga antara penyumbang atlet berbasikal, antaranya Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang memenangi emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia New Delhi 2022 dan pingat emas acara 200 meter Word Cup Track Hong Kong 2023,” katanya di sini pada Selasa.

Muhammad Radhi berkata, bagi melahirkan pelapis dalam sukan berbasikal, sebuah velodrom mini amat diperlukan untuk mengetengahkan pelapis-pelapis muda dari negeri ini.

“Pembinaan infrastruktur sukan yang lengkap dapat mencungkil dan memberi peluang kepada bakat-bakat baharu yang ada untuk lebih menyerlah dalam sukan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ia juga antara hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu atlet berbasikal Kedah memperoleh kemudahan sukan setelah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Permohonan Kedah ini akan disusuli dengan kertas kerja berkaitan untuk kita kemukakan kepada Kementerian Belia Sukan (KBS). Saya andaikan dari segi asas Kedah memang penuhi syarat cuma kita perlu laksana mengikut proses,” jelasnya.

Muhammad Radhi berkata, tanpa infrastruktur yang sempurna, agak sukar untuk bakat itu digilap dalam melahirkan pelapis secara berterusan.

“Kadang bakat itu tak boleh dikembangkan sebab masalah infrastruktur yang kita tak mampu sediakan, sukar untuk kita asah bakat agar mereka lebih cemerlang. Saya percaya hasrat Kedah ini boleh dipertimbangkan di peringkat Pusat mahupun KBS,” katanya.

Menurutnya, Kedah bersedia menawarkan tapak yang bersesuaian untuk dibina velodrom mini sekiranya cadangan tersebut diluluskan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Radhi memaklumkan, kerajaan negeri menyambut baik peruntukan yang diberikan oleh KBS bagi menyediakan fasiliti dan kemudahan sukan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Saya berharap kerjasama baik yang terjalin ini dapat diteruskan untuk pembangunan sukan dalam menyediakan fasiliti sukan yang berkualiti dan menepati spesifikasi ditetapkan.

“Contohnya, kemudahan baharu Pusat Skuasy Kedah di Jalan Suka Menanti akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kita lahirkan lebih ramai atlet berkualiti tinggi untuk pasukan kebangsaan, seterusnya mengharumkan nama Malaysia,” ujarnya.

Majlis penyerahan Pusat Skuasy Kedah bernilai RM10.8 juta disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Isnin lepas.

Muhammad Radhi memaklumkan, kemudahan tersebut akan memanfaatkan program pembangunan skuasy seramai 71 orang selain lapan atlet dalam program elit.

“Pada masa ini, terdapat tiga jurulatih skuasy bawah kendalian Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah.

“Antara pencapaian terbaik atlet skuasy Kedah, di Kejohanan Sukan Asia 2023 di Hangzhou membawa pulang dua pingat emas dan satu pingat perak kepada negara, yang disumbangkan oleh Sivasangari Subramaniam serta pemain adik beradik, Aira dan Aifa Azman,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!