Perhilitan nafi buaya ditangkap di Terengganu

Tangkap layar konon video didakwa buaya ditangkap.
Tangkap layar konon video didakwa buaya ditangkap.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menafikan penyebaran video tular memaparkan seekor buaya ditangkap di Sungai Manir, dekat sini.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, video yang dimuat naik di media sosial X pada Selasa itu ialah kejadian yang berlaku di Sarawak pada tahun lepas.

"Ia merupakan sebuah video buaya yang ditangkap di Sarawak yang telah dimuat naik di Facebook pada 25 Mei tahun lepas.

"Saya harap orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak berkongsi info tidak sahih. Jangan sesekali menyebarkan maklumat sekiranya tidak pasti kerana ia akan menimbulkan ketidaktenteraman dan panik dalam kalangan penduduk setempat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Kean Seong berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan buaya terlepas pada musim tengkujuh melanda Terengganu.

Beliau berkata, mana-mana individu yang terserempak dengan haiwan terancam seperti buaya perlu segera melaporkan kepada pihak Perhilitan.

"Jika ada jumpa jumpa hidupan liar mohon segera menjauhi mereka dan laporkan kepada Perhilitan terdekat untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.

Pada Selasa, seorang pemilik akaun X memuat naik video berdurasi 33 saat yang mendakwa buaya ditangkap di Sungai Manir susulan berlaku kejadian air pasang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!