Banjir makin buruk, jumlah mangsa meningkat 25,938 orang
KUALA LUMPUR – Bencana banjir di empat negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang bertambah buruk apabila mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 25,938 orang sehingga jam 4 petang Selasa.
Menurut Portal Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah itu melonjak berbanding 21,113 mangsa yang direkodkan pada jam 6 pagi tadi.
Jumlah mangsa banjir tersebut keseluruhannya membabitkan 7,365 keluarga yang terjejas di 19 buah daerah di ketiga-tiga negeri Pantai Timur dan Selangor.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 15,145 orang daripada 4,406 keluarga setakat jam 4 petang berbanding 12,178 orang daripada 3,746 keluarga yang dicatatkan jam 6 pagi.
Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu terjejas banjir selepas Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai serta kesemua mangsa sedang berlindung di 92 PPS di lapan jajahan itu.
Sebanyak 33 PPS dibuka di Kuala Krai yang menempatkan 3,423 mangsa daripada 941 keluarga dan 27 PPS di Pasir Mas yang memberi perlindungan kepada 9,116 mangsa daripada 2,672 keluarga.
Di Tanah Merah pula, 18 PPS beroperasi menempatkan 1,706 mangsa daripada 519 keluarga, enam PPS di Machang (459 mangsa daripada 165 keluarga) sementara masing-masing satu PPS di Jeli (82 mangsa daripada 27 keluarga), Kota Bharu (42 mangsa daripada 11 keluarga) dan Pasir Puteh (39 mangsa daripada lapan keluarga).
Banjir gelombang ketiga di TERENGGANU semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di tujuh daerah terus meningkat kepada 10,199 orang daripada 2,811 keluarga setakat 4 petang Selasa berbanding 8,397 orang daripada 2,267 keluarga pada jam 6 pagi.
Tiga daerah yang terjejas teruk ialah Hulu Terengganu dengan 3,176 mangsa daripada 928 keluarga ditempatkan di 33 PPS, diikuti Dungun dengan 2,342 mangsa daripada 633 keluarga di 28 PPS.
Di Setiu, 2,167 mangsa daripada 644 keluarga ditempatkan di 27 PPS; Besut, 1,432 mangsa daripada 310 keluarga di 23 PPS; Kemaman, 958 mangsa daripada 267 keluarga di sembilan PPS; Kuala Terengganu, 38 mangsa daripada tujuh keluarga di tiga PPS manakala di Marang, 86 mangsa daripada 22 keluarga di dua PPS.
Di PAHANG, seramai 590 mangsa banjir daripada 147 keluarga direkodkan berada di 13 PPS dan jumlah itu meningkat berbanding 534 mangsa daripada 125 keluarga pada sebelah pagi.
Sebanyak sembilan PPS masih dibuka di Raub yang menempatkan 463 mangsa daripada 118 keluarga manakala tiga PPS di Lipis mencatatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga.
Di SELANGOR pula, empat mangsa daripada satu keluarga dipindahkan membabitkan satu PPS dibuka di Kuala Langat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!