Ahmad Zahid akan bantah permohonan cabar keputusan DNAA
Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Timbalan Perdana Menteri itu, berkata, pihaknya akan memfailkan afidavit dan hujahan untuk membantah permohonan tersebut sebelum 11 Januari depan.
"Prosiding pendengaran permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman tersebut ditetapkan pada 11 Januari 2024 di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.
"Sama ada Peguam Negara juga akan membantah permohonan semakan kehakiman itu akan diketahui pada prosiding pendengaran permohonan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mahkamah Tinggi telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap beliau.
Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember lepas, Badan Peguam Malaysia yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden memohon perintah supaya keputusan itu dibatalkan.
Ia turut memohon deklarasi bahawa keputusan itu adalah batal dan tidak sah selain dibuat melebihi bidang kuasa serta kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Badan Peguam Malaysia juga memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang di bawah Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid.
Turut dimohon perintah agar Peguam Negara membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang menyebabkan keputusan bagi memohon DNAA itu dicapai kepada Badan Peguam Malaysia.
Badan Peguam Malaysia mendakwa Peguam Negara bertindak secara ultra vires ketika memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid dan keputusan itu juga adalah tidak munasabah atau rasional. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!