Pengajaran berguna buat Harimau Muda

Pemain negara, Mukhairi Ajmal (depan) cuba melepasi kawalan pemain China dalam aksi persahabatan di Shanghai pada Selasa. - Foto FB FAM
Pemain negara, Mukhairi Ajmal (depan) cuba melepasi kawalan pemain China dalam aksi persahabatan di Shanghai pada Selasa. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara memperoleh pengalaman berharga pada dua perlawanan pemanas badan di Shanghai menentang pasukan B-23 China dalam tempoh tiga hari.

Jurulatih Harimau Muda, Juan Torres Garrido berkata, situasi kedua-dua perlawanan adalah berbeza kerana barisan kejurulatihan memberi peluang lebih ramai pemain beraksi.

“Pengalaman berguna buat para pemain. Ada peningkatan prestasi dalam kalangan pemain, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Apa pun pemain sudah berikan yang terbaik buat pasukan mengikut perancangan yang dibuat sebelum perlawanan,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Jinshan itu, skuad harimau muda yang beraksi 10 pemain terpaksa akur gagal mengulangi magis untuk menewaskan China apabila tewas 1-2 pada Selasa.

Setelah kalah tipis 0-1 pada Sabtu lalu, skuad tuan rumah yang dibimbing Cheng Yaodong bangkit menebus dendam.

Menurut Garrido, dalam aksi persahabatan itu para pemain juga memperoleh pengajaran daripada aspek mentaliti, selain mereka boleh menilai prestasi masing-masing untuk dipertingkatkan menjelang kejohanan sebenar pada April.

“Pasukan juga tidak dapat menyediakan skuad yang mantap kerana ada pemain yang cedera, namun diharapkan menjelang sesi latihan pada Mac para pemain dapat melakukan yang lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi tersebut, tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi Du Yuesheng pada minit kelima.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad harimau muda kembali menyusun gerak untuk memburu gol penyamaan.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang muda Selangor FC, Alif Izwan Yuslan menyamakan kedudukan pada minit ke-34.

Bagaimanapun, malang menimpa skuad negara apabila Alif Izwan diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-39.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh China untuk menokok jaringan menerusi Tao Qianlong pada masa kecederaan babak pertama.

Sebagai rekod, dua aksi persahabatan berdepan skuad muda China itu sebagai persiapan pasukan negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Dalam saingan tersebut, skuad B-23 diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!