Hantar ke pusat jagaan: Betul ke anak tak sayang ibu bapa?

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

KITA selalu sebut, jangan mudah menghukum. Namun tanpa sedar, terkadang kita ‘termakan’ kata-kata sendiri.

Baru-baru ini, seorang rakan lama menjemput Merak Jalanan dan beberapa teman lain ke rumahnya. Ada buat makan-makan sikit katanya. Lama kami tidak bertemu mata sejak habis sekolah.

Ketika sedang menjamu selera, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah. Kelihatan seorang lelaki menggalas sebuah beg di sebelah kiri manakala tangan kanan merangkul bahu wanita melebihi usia separuh abad.

Selepas melayani wanita tadi, rakan Merak Jalanan kembali kepada kami dan berkongsi, wanita tadi ibu mentuanya yang baru diambil dari pusat jagaan.

Walaupun tidak ada ‘mulut busuk’ bertanya, namun Merak Jalanan perasan ada yang saling berpandangan.

Menyedari situasi itu, rakan kami membuka mulut. Ibu mertua yang berusia 67 tahun dahulunya seorang pensyarah. Selepas bersara dan kematian suami, kehidupannya diselubungi kesunyian menyebabkannya mula mengalami kemurungan.

Bimbang keadaan itu berlarutan, anak-anak mengadakan perbincangan dan memikirkan apakah solusi terbaik bagi memastikan hari tua ibu mereka terisi dengan aktiviti bermanfaat, rohani dan jasmaninya juga terjaga.

Akhirnya, mereka menemukan sebuah pusat jagaan yang bukan hanya menyediakan perkhidmatan penjagaan sebaiknya, malah pelbagai program bagi menambah ilmu agama disediakan di pusat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nawaitu mereka hanya satu, perjalanan hari tua ibu diisi untuk mengejar ilmu akhirat malah si ibu juga sangat gembira. Dua minggu sekali ibu akan dibawa pulang ke rumah bahkan ibu boleh sahaja pulang bila-bila dia mahu.

Tidak timbul isu mahu menyisihkan insan yang begitu besar makna buat mereka. Menghantar ke pusat jagaan bukti betapa besarnya nilai kasih dan sayang. Cuma syaratnya, bukan hantar dan tidak dijenguk langsung!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!