Penduduk saran pasang CCTV, saman pelaku
PETALING JAYA - Pihak pengurusan Rumah Pangsa Desa Mentari, di sini disarankan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan blok perumahan tersebut bagi menangani masalah pembuangan sampah dari tingkat atas oleh individu tidak bertanggungjawab.
Seorang penduduk, Laiha Nadimin, 44, berkata, ia berikutan rakaman CCTV dapat menjadi bahan bukti penting untuk menangkap pelaku sebenar sekali gus memastikan keselamatan penduduk kawasan tersebut terjamin.
“Macam di blok perumahan saya, semua penduduk buat kutipan wang dan gunakan untuk pasang CCTV.
“Bila ada CCTV, orang nak buang sampah merata-rata fikir dua tiga kali. Sebab bila ada CCTV senang kita nak tahu, rumah mana yang baling sampah, tingkat berapa dan sebagainya.
“Kita pun rasa lebih selamat dan dari segi kes buang sampah pun semakin berkurang,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga, Nasirdin Ton, 60, berkata, pihak pengurusan juga dicadangkan supaya bertindak lebih tegas dengan cara memberi saman kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
“Kalau kita dapat kesan pelaku, kita beri amaran pertama. Kalau buat lagi, beri amaran kali kedua.
“Ketiga, kita bagi surat saman. Sebab sudah terlalu banyak sampah dibuang seperti telur dan sisa makanan lain, semua main campak saja ke bawah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!