Bersikap 'gentleman', Alif Teega raih pujian
[DIKEMAS KINI] Tindakanpempengaruh media sosial, Mohd Hazalif Mohd Hazani atau lebih dikenali sebagai Alif Teega yang secara 'gentleman' menyerahkan 100 peratus harta sepencarian kepada isteri, Aisyah Hijanah meraih pujian warganet.
Harta sepencarian yang dimaksudkan adalah pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.
Biarpun terpaksa menelan cacian masyarakat kerana mendirikan rumah tangga kedua bersama wanita bernama Fatin Umaidah di saat Aisyah sedang hamil lima bulan, keputusan tersebut contoh terbaik buat kaum Adam di luar sana.
Menurut pemuda berumur 29 tahun itu, perkara yang berlaku ketika ini telah banyak memberi pengajaran buatnya.
Dalam pada itu, beliau tidak lupa untuk memuji sikap murni Aisyah yang masih menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata meskipun perit untuk menelan segalanya.
Daripada perspektif Aisyah pula, beliau sehingga kini dilihat tenang dan bijak mengatasi konflik rumah tangga tatkala berdepan ujian dalam tempoh mengandung.
Ketika wanita di luar sana geram dan marah dengan tindakan sang suami berpoligami, Aisyah yang juga pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Psikologi tidak membiarkan emosi mengatasi kepintarannya dalam menangani krisis tersebut.
Perkara yang dituntut oleh wanita cekal itu selepas bersusah payah membina empayar perniagaannya adalah memberikan inspirasi kepada golongan hawa agar mempertahankan jaminan masa depan buat diri sendiri dan anak-anak sekiranya berlaku perpisahan.
Apa pun, kedua-dua pihak bersetuju untuk mendapatkan bahagian dan hak masing-masing serta berjanji untuk saling membantu pada masa akan datang.
Bagaimanapun, diharapkan hubungan silaturahim, ikatan kekeluargaan yang terjalin sekian lama dan tanggungjawab terhadap anak-anak tidak dilupakan begitu sahaja.
Semoga lebih ramai lagi kaum lelaki di negara ini yang bersikap seperti Alif dari sudut memahami tanggungjawab dan keperluan sang isteri serta cuba melaksanakannya sebaik mungkin tanpa menyakiti mana-mana pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!