Hojlund hero United di Old Trafford
BINTANG Denmark, Rasmus Hojlund akhirnya meledak gol pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan Manchester United menang 3-2 ke atas Aston Villa di Stadium Old Trafford pada Rabu.
Anak buah Erik ten Hag sebelum itu bangkit dua gol menerusi Alejandro Garnacho pada minit ke-59 dan 71 bagi memadam jaringan awal daripada John McGinn (m-21) dan Leander Dendoncker (m-26).
Keputusan itu membolehkan United yang dikritik penyokong-penyokong Old Trafford pada separuh masa pertama, naik ke tangga keenam dengan 31 mata, manakala Villa, yang tewas pertama kalinya dalam 11 perlawanan dalam semua pertandingan, berada di tempat ketiga dengan 39 mata.
"Ya, sudah lama menunggu detik sebegini, saya sangat gembira dan paling bahagia sekarang.
"Anda juga dapat lihat dari cara kami meraikannya.
"Kami percaya kepada diri sendiri sehingga akhir yang mencetuskan kemenangan hari ini," kata Hojlund selepas mengakhiri kemarau 1,027 minit gol liganya.
Hojlund, yang menandatangani kontrak dengan United pada Ogos dari kelab Serie A Itali, Atalanta, telah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara sebelum ini berdepan kemarau gol liga sebelum ini.
United menuju ke arah kekalahan kesembilan dalam 19 perlawanan liga selepas ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama sebelum Garnacho menjaringkan gol buat pasukan tuan rumah.
"Sejujurnya kami merasai satu perasaan yang hebat bahawa kami ialah Manchester United.
"Kami ketinggalan dua tetapi kami tidak pernah berputus asa dan ia adalah kebangkitan semula yang hebat daripada pasukan," kata Garnacho.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan pertama United sejak jutawan British, Jim Ratcliffe mencapai perjanjian untuk mengambil kepentingan minoriti di kelab itu.
Sementara itu, ten Hag menyifatkan tiga mata tersebut merupakan hadiah buat penyokong-penyokong setia The Red Devils.
"Teruskan percaya.
"Saya percaya penyokong-penyokong United layak mendapatkan kemenangan ini apabila sentiasa berada di belakang kita biarpun pasukan mengalami kemerosotan prestasi.
"Saya amat gembira dengan prestasi pasukan ini.
"Apakah terdapat pasukan yang boleh mengendalikan dan menangani kemerosotan prestasi sama seperti yang telah kita hadapi pasukan ini?" kata ten Hag.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!