Ikat sangkar ikan guna tali kapal elak dihanyutkan arus deras
KUALA KRAI - Seorang penternak hampir berputih mata apabila lebih 10,000 ikan peliharaannya nyaris dihanyutkan arus deras apabila Sungai Kelantan di Kampung Batu Lada, di sini dilanda banjir.
Rohaimin Yusoff, 51, berkata, susulan itu 15 sangkar miliknya terpaksa diikat pada pokok nangka dan durian menggunakan tali kapal bagi mengelakkan ia dihanyutkan.
"Banjir kali ini dilihat luar biasa kerana sangkar saya terangkat sehingga 6 meter (m) dari tempat asal.
"Sejak menternak di sini sejak tahun 2019, inilah kali pertama ia berlaku," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, untuk memastikan ikan yang dipelihara selamat sepanjang musim banjir ini, dia sanggup tidur di lokasi di atas sebuah rumah rakit.
Ujarnya, ia bagi memastikan ikan keli, patin, tilapia serta baung yang dibela tidak hilang dibawa arus deras banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!