Siapa bakal terajui Amanah Perak?
IPOH - Usai pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) di peringkat pusat, tumpuan kini terarah lantikan Pengerusi Amanah negeri yang turut hangat.
Di Perak, sekurang-kurangnya empat calon disebut-sebut bakal menerajui kepimpinan di peringkat negeri termasuklah Timbalan Presiden Amanah yang baharu dipilih iaitu Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Selain itu, turut tersenarai ialah penyandang yang juga pengerusi pertama Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli.
Jika dilihat senarai nama berkenaan, Mujahid paling berpeluang menyandang jawatan berkenaan, namun harus diingat peranan di peringkat pusat sebagai Timbalan Presiden parti serta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang cukup berat pasti akan memberi kesan untuk menggalas tanggungjawab parti di peringkat negeri.
Asmuni pula pemimpin yang cukup berpengalaman apabila menerajui parti di peringkat negeri selama dua penggal selain pernah menyandang jawatan di peringkat pusat iaitu Bendahari Kehormat Amanah serta Pengarah Pilihan Raya Amanah.
Seorang lagi nama menjadi pilihan sebagai Pengerusi Amanah Perak ialah Mohammad Nizar yang merupakan satu-satunya calon parti itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu selain dilantik kembali menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak di dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Tidak lupa buat Aminuddin yang kini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu merangkap Presiden Amanah turut mengintai peluang menerajui Amanah Perak.
Bagaimanapun di antara keempat-empat nama berkenaan, hanya Asmuni memegang jawatan sebagai Ketua Amanah Kawasan iaitu di Tambun manakala tiga lagi tidak menerajui parti di peringkat kawasan.
Jika ditanya pemimpin di peringkat akar umbi, mereka inginkan pemimpin yang mampu menyatukan semua ahli serta diterima oleh majoriti ahli.
Bagi Ketua Amanah Kawasan Lumut, Yahaya Mat Nor, kriteria penting bagi seorang Pengerusi Amanah Perak mesti ada ketokohan dan kebolehan dalam kepimpinan.
Menurutnya, untuk menerajui Amanah negeri bukan tanggungjawab yang mudah tetapi memerlukan pengorbanan besar.
"Kita faham bahawa pelantikan pengerusi negeri ini di bawah bidang kuasa pimpinan di peringkat pusat namun harapan kami agar mereka yang dipilih mestilah ada wibawa dan berkarisma.
"Paling penting dia mesti terbuka dan berlapang dada dalam menerima sebarang pandangan mahupun kritikan oleh akar umbi parti," katanya.
Nada hampir sama turut dikongsi Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim, Khairol Najib Hashim yang mahukan pemimpin dipilih boleh bekerjasama dengan kesemua ataupun majoriti kepimpinan Amanah kawasan.
Menurutnya, pemimpin tersebut juga mampu melahirkan pelapis kepimpinan serta bersedia memberi ruang kepada pemimpin muda bersama-sama menerajui kepimpinan Amanah Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!