Guru besar ditembak ketika sertai demonstrasi

Ubaid yang tidak boleh lagi berjalan menunjukkan kesan tembakan di bahagian pangkal pahanya semasa terlibat demonstrasi Arab Spring di Marib, Yemen pada 2011.
Ubaid yang tidak boleh lagi berjalan menunjukkan kesan tembakan di bahagian pangkal pahanya semasa terlibat demonstrasi Arab Spring di Marib, Yemen pada 2011.
A
A
A

MARIB (Yemen) - "Saya datang menyertai demonstrasi dengan semangat dan harapan mahukan masa depan Yemen yang lebih baik," ujar Ubaid Mohamad, saat mengingat awal revolusi di bandar ini pada 2011.

Sudah lebih 10 tahun sejak Ubaid yang kini berusia 45 tahun bersama anak muda yang berfikiran sama dengannya turun ke jalanan bagi menuntut perubahan daripada pemerintah sebelum ini.

Namun dia yang merupakan guru besar di sebuah sekolah di sini tidak menyangka kehadirannya menyertai demonstrasi menentang kerajaan berakhir tragedi apabila dia ditembak oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Saya datang ke demonstrasi tersebut tanpa sebarang senjata dan cuma membawa sekuntum bunga dengan cuba menyuarakan protes terhadap kerajaan sedia ada pada masa itu.

"Tetapi tiba-tiba saya ditembak pada bahagian pangkal paha oleh seseorang sedangkan saya tidak melakukan sebarang provokasi," katanya kepada pemberita semasa menerima lawatan wakil Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave Sdn Bhd di Kem Pelarian Al-Jufainah di sini pada Rabu.

Mas Imran (kiri) dan Dr Mohd Zin menyerahkan sumbangan kepada Ubaid di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Rabu.
Mas Imran (kiri) dan Dr Mohd Zin menyerahkan sumbangan kepada Ubaid di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Rabu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar menyerahkan sumbangan kepada Ubaid dan dihadiri Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.

Ubaid juga merupakan seorang daripada 20 penerima air bersih di kem pelarian tersebut disumbangkan MyCARE dan Econsave yang kini dalam Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave bermula dari 18 sehingga 30 Disember ini di Syria dan Yemen.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Bercerita lanjut, Ubaid berkata, sejak kejadian itu dia sudah tidak boleh berjalan dan sehingga sekarang masih menanggung kesakitan walaupun sudah 10 pembedahan dibuat temasuk tiga kali di Mesir dan India.

Bapa kepada seorang anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu dinasihatkan supaya mendapat rawatan lanjut di Britain atau Amerika Syarikat selepas ini.

Mengenai bantuan air bersih yang diterima, dia berkata, sebelum ini keluarganya akan membeli air selain meminjamnya daripada jiran dan setiap minggu perlu menyimpan wang untuk membeli air bersih dengan keutamaan untuk air minuman.

Sementara itu, Abdullah Said Dubai, 65, penghuni kem pelarian tersebut yang paling daif berkata, dia terpaksa menadah air hujan selain membeli 1,500 liter air pada setiap dua hingga tiga minggu.

Abdullah merupakan mangsa perang yang paling daif tinggal dalam Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen.
Abdullah merupakan mangsa perang yang paling daif tinggal dalam Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen.

Dia yang tinggal dalam khemah yang tiada bilik atau dapur bersama isteri dan tiga anaknya itu berkata, masalah air amat meruncing dan merupakan perkara utama di kem pelarian tersebut.

"Sejak berlindung di kem pelarian ini, masalah sumber air bersih tidak pernah selesai," katanya yang menghuni kem pelarian berkenaan sejak 2018 selepas rumahnya di Sanaa musnah dibom.

Dr Mohd Zin (depan), Rozi (kanan) dan Mas Imran (kiri) menyalurkan air dari lori ke dalam tangki di sebuah khemah penduduk di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Rabu.
Dr Mohd Zin (depan), Rozi (kanan) dan Mas Imran (kiri) menyalurkan air dari lori ke dalam tangki di sebuah khemah penduduk di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Rabu.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, sebanyak 60 lori dengan kapasiti 400,000 liter air disumbangkan kepada 180 keluarga di beberapa kem pelarian sekitar daerah ini.

"Bantuan ini adalah sebahagian daripada misi kita bagi meringankan beban mangsa perang di kem-kem pelarian yang berdepan masalah bekalan air bersih," ujarnya.

Seorang kanak-kanak mengibarkan bendera Malaysia semasa keluarganya menerima bekalan air bersih sumbangan rakyat Malaysia di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Rabu.
Seorang kanak-kanak mengibarkan bendera Malaysia semasa keluarganya menerima bekalan air bersih sumbangan rakyat Malaysia di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yemen pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!