Subsidi bersasar jamin ekonomi mampan
SHAH ALAM - Pelaksanaan sistem subsidi bersasar pada tahun 2024 dianggap mekanisme terbaik bagi mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan sekali gus menjadikan ekonomi negara lebih mampan untuk jangka masa panjang.
Demikian dilontarkan Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Dr Barjoyai Bardai yang mana beliau menyifatkan, meskipun perkara berkaitan subsidi seringkali dianggap ‘kontroversi’, namun ia mampu mengimbangi tanggungjawab fiskal dan ekonomi.
Katanya, meskipun Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu dianggap sebagai penjimatan kerajaan, ia bagaimanapun merupakan strategi penstrukturan semula ekonomi negara.
“Pelaksanaan subsidi bersasar bukan saja dapat mengurangkan defisit fiskal kepada tahap yang baik, malah ia mampu meningkatkan pendapatan kerajaan.
“Ini kerana, subsidi yang tidak mampan boleh memburukkan defisit bajet negara di samping menjejaskan kestabilan ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa sama, Barjoyai turut menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai belanjawan pengembangan berdasarkan kepada peruntukan RM393.8 bilion oleh kerajaan iaitu peningkatan RM4.5 bilion berbanding tahun 2023.
Maksud belanjawan pengembangan itu menurut beliau, ialah pengurangan peruntukan untuk satu perkara tetapi bertambah untuk perkara yang lain.
“Maksudnya dari segi perbelanjaan subsidi, kerajaan melaksanakan penyasaran semula memandangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan bagi tahun 2024 dijangka mencecah RM81 bilion,” jelas beliau.
Menerusi penyasaran semula subsidi tersebut, ia akan menyaksikan hanya kumpulan atau golongan yang benar-benar layak sahaja akan menerima subsidi serta bantuan di samping mengelakkan berlakunya ketirisan dan sebagainya.
Penjimatan kerajaan
Pada masa sama, pelaksanaan subsidi bersasar turut memberi penjimatan kepada kerajaan kira-kira RM30 bilion jika ia dilaksanakan.
Penjimatan itu bagaimanapun pun jelas Barjoyai tidak akan dapat serta-merta pada tahun ini atau tahun depan.
Bagaimanapun, menerusi penjimatan tersebut, kerajaan berkemungkinan akan menambah perbelanjaan subsidi pada tahun-tahun tertentu termasuk memperkenalkan subsidi baharu kepada pihak majikan dan industri menerusi mekanisme gaji progresif.
“Subsidi baharu (gaji progresif) ini adalah antara RM2 bilion hingga RM5 bilion. Jadi, bagi jangka masa pertengahan dan panjang, kita akan melihat penyaluran subsidi yang lebih bersasar dan cekap,” jelas Barjoyai.
Manfaat kepada rakyat
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut berpandangan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar ini dapat melindungi golongan berpendapatan rendah serta kumpulan terdedah di samping menyumbang kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi negara.
Malah, di samping meningkatkan kecekapan dalam ekonomi, langkah tersebut turut meminimumkan risiko kejutan ekonomi.
“Pada pandangan saya, strategi subsidi bersasar bersifat adil kerana ia dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi yang sememangnya berkemampuan.
“Malah, kerajaan dilihat berada di landasan yang betul demi memastikan kelestarian masa hadapan dan berhadapan dengan pelbagai cabaran di peringkat global,” kata beliau.
Subsidi digital
Mengulas lanjut mengenai penyaluran subsidi bersasar, Ahmed Razman melihat usaha kerajaan menggunakan pendekatan aplikasi digital mampu memastikan golongan sasar benar-benar menerima manfaat yang dihasratkan.
“Jika kaedah ini dilaksanakan serta-merta, ianya akan menangani masalah ketirisan selain mengelakkan subsidi dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi,” jelasnya lagi.
Menurutnya, subsidi bersasar juga meskipun diberikan tumpuan kepada kumpulan pendapatan B40, namun ia harus mengambil kira kemungkinan kesan kenaikan harga barangan yang boleh menjejaskan kumpulan M40 dan T20.
Sebagai contoh katanya, sekiranya berlaku kenaikan harga barangan, ia mungkin mengheret kumpulan yang tidak menikmati subsidi menjadi ‘miskin’ dalam jangka masa pendek.
“Bagaimanapun, saya yakin kerajaan telah pun memikirkan kemungkinan ini melalui mekanisme gaji progresif yang dijangka aktif dalam tempoh pertengahan pelaksanaan subsidi bersasar.
“Jadi, keadaan itu merupakan satu kesan positif yang mana kita mungkin jangkakan setiap pekerja menikmati kenaikan gaji mandatori setiap tahun,” ujarnya.
Reaksi rakyat:
“Subsidi bersasar dapat beri peluang kepada mereka selayaknya menerima bantuan kerajaan.”- Siti Norlin Abd Kadir 47.
“Subsidi bersasar mampu mengurangkan beban keluarga golongan B40 terutama yang mempunyai tanggungan yang ramai.” - Yogeswari Elankovan, 31,
“Usaha baik untuk memastikan golongan kaya dan warga asing tidak menikmati subsidi kerajaan hingga menyebabkan pembaziran berlaku.” - Zamri Saidin, 48.
“Lebih banyak bantuan dapat disalurkan apabila subsidi kerajaan dapat diselaraskan semula.” - Ikhsan Mohd Din,55.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!