'Macam padang ragut New Zealand'
IPOH - Sekali pandang kelibat beberapa ekor lembu sedang meragut rumput mirip suasana di sebuah padang ragut di negara New Zealand, namun hakikatnya lokasi tersebut di sebuah padang permainan di Taman Meru Perdana 2 dekat sini.
Di sebalik gambaran yang indah itu sebenarnya ia mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat di kawasan perumahan berkenaan.
Seorang penduduk, Mohd Nazri Rozally, 45, berkata, masalah dihadapi penduduk itu bukanlah baharu tetapi berulang setiap tahun sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, kehadiran haiwan tersebut menyebabkan kawasan persekitaran taman permainan dan padang berhampiran tercemar dengan najis haiwan berkenaan.
"Biasanya setiap awal pagi dan lewat petang, lembu-lembu ini akan ke kawasan padang meragut rumput. Najis lembu-lembu ini juga bersepah di taman permainan di kawasan padang.
"Keadaan itu amat mengganggu penduduk terutama kanak-kanak yang mahu beriadah di taman permainan berkenaan. Sampai bila kami terpaksa berdepan masalah ini pun tak tahulah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Rabu.
Menurutnya, bukan sahaja masalah lembu yang dilepaskan di kawasan penduduk, isu anjing liar turut menghantui mereka.
Jelasnya, lebih 10 ekor anjing liar berkeliaran di taman perumahan berkenaan yang membahayakan penduduk selain menyebabkan sampah bertaburan.
Bagi Muhammad Daniel Azran, 14, pula aktiviti bermain bola sepak bersama rakan-rakan di padang berhampiran turut terganggu.
"Kami nak main bola sepak memang tak selesa sebab selalu terpijak najis lembu. Setiap kali main mesti ada najis lembu.
"Kawasan taman permainan pun banyak. Adik-adik kami nak main jadi tak selesa sebab bau busuk dan longgokkan najis yang banyak," katanya.
Jelasnya, begitu juga dengan ancaman anjing liar yang sering mengejar mereka di sekitar kawasan taman permainan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff berkata, pihaknya sudah menerima rungutan daripada penduduk mengenai masalah berkenaan.
Malah katanya, aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga sudah dibuat namun setiap kali penguat kuasa hadir, lembu-lembu berkenaan tidak pula kelihatan begitu juga dengan anjing liar.
"Kita gesa pemilik haiwan ternakan ini lebih bertanggungjawab dengan memastikan peliharaan mereka tidak masuk ke kawasan penduduk.
"Pihak berkuasa juga perlu mengambil serius kerana najis haiwan ini menyebabkan pencemaran bau serta memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!