Indeks harga pengeluar susut 1.5 peratus
INDKES Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, meneruskan penurunan tahun ke tahun pada November 2023 dengan susut 1.5 peratus pada November 2023 berbanding 0.3 peratus pada Oktober 2023.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, kesemua sektor berada dalam wilayah negatif kecuali sektor bekalan air yang merekodkan pertumbuhan 1.0 peratus.
Sektor perlombongan mencatat penurunan terbesar pada bulan lepas sebanyak 4.7 peratus berbanding 0.5 peratus pada bulan lepas berikutan kemerosotan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-15.2 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-1.1 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor, pembuatan meneruskan aliran penurunan dengan penguncupan 1.4 peratus berbanding 0.7 peratus pada Oktober 2023 yang disebabkan oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-11.7 peratus) serta pembuatan produk makanan (-4.5 peratus).
"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan susut sebanyak 0.4 peratus (Oktober 2023: 3.8 peratus) akibat penurunan penanaman tanaman kekal (-1.5 peratus),” katanya dalam kenyataan Indeks Harga Pengeluar Pengeluaran Tempatan 2023, hari ini.
Sektor bekalan elektrik dan gas juga menguncup 0.6 peratus selepas mengalami penurunan 0.5 peratus pada Oktober lepas.
Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan susut sebanyak 0.7 peratus pada November 2023 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, beliau berkata, indeks barang siap mencatat 1.7 peratus pada bulan lepas (Oktober 2023: 2.2 peratus).
Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menguncup 3.4 peratus (Oktober 2023: -3.0 peratus).
Dalam pada itu, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya menguncup 0.3 peratus pada November 2023 daripada 5.3 peratus pada bulan sebelumnya, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!