Pesara bungkus perabot elak terkena banjir
HULU TERENGGANU - Hanya bermodalkan RM90, seorang pesara kerajaan dari Kampung Tok Bat, dekat sini mengambil inisiatif membungkus kesemua barangan keperluan rumah dengan menggunakan plastik kanvas biru bagi mengelakkannya daripada terkena banjir.
Moh Norddin Ahmad, 60, berkata, idea kreatif itu sudah dilakukan pada tahun lepas dengan membungkus kereta Proton Persona dan sebuah motosikal menerusi kaedah yang sama.
Menurutnya, pada kali ini dia hanya membungkus perabot dan barangan lain menggunakan plastik kanvas biru bersaiz 6x6 meter dengan disusun setinggi hampir 2 meter sebelum membuat ikatan pada bahagian atas.
"Idea ini tercetus menerusi perbincangan bersama empat orang anak semasa kami terkandas banjir pada tahun lepas.
"Kita bungkus kereta Proton Persona dan sebuah motosikal yang dibalut dengan plastik. Alhamdulillah...kereta dan motosikal masih boleh dihidupkan meskipun ia ditenggelami air," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tok Bat dekat sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Moh Norddin berkata, pada kali ini dia sempat meletakkan kereta dan motosikal di kawasan lebih selamat sebelum kediamannya ditenggelami air.
Justeru, dia hanya membungkus perabot dan barangan yang diletakkan di ruang tamu rumah bagi mengelakkan barangan tersebut rosak.
"Kaedah ini lebih mudah kerana tidak perlu berasa risau untuk menanggung risiko kerugian meskipun ada sikit-sikit yang kembang akibat terendam air tapi masih boleh diselamatkan.
"Jika air naik lebih dari paras dada saya rasa, ia mungkin tak akan berkesan... tapi tak apalah, ini ikhtiar saya dan selebihnya serahkan pada ALLAH SWT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!