Polis sahkan mangsa rentung dalam Perodua Kancil lelaki

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

PEKAN - Polis mengesahkan mangsa rentung dalam kebakaran sebuah kereta Perodua Kancil di Kilometer (KM)18 Jalan Pekan-Nenasi selepas bertembung dengan sebuah treler pada Selasa ialah seorang lelaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, rakan mangsa iaitu pemandu kereta terbabit, Muhammad Shafiq Haikal Mohd Najib, 18, turut maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin memberitahu, mangsa rentung dikenal pasti Muhammad Hanif Ikwan Md Kamizi, 18, yang juga seorang pelajar kolej.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan Perodua Kancil yang dipandu oleh mangsa dari arah Rompin menghala ke Pekan dengan treler yang yang dipandu oleh lelaki berusia 42 tahun dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta itu telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar bahagian hadapan treler di laluan bertentangan sehingga menyebabkan Perodua Kancil tersebut terputus dua dan terbakar.

"Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu telah tercampak keluar dari kereta itu dan meninggal dunia di tempat kejadian," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, penumpang kereta tersebut rentung 100 peratus dalam kenderaan terbabit.

Jelas beliau kedua-dua mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Pekan untuk tujuan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kereta tersebut mengalami kerosakan iaitu terbakar sebanyak 50 peratus, manakala treler pula mengalami kerosakan di bahagian depan akibat kemalangan terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.