Amalkan 3 fiqh solat ini ketika ruang sesak dan ramai orang
MESKIPUN cuti sekolah hanya berbaki lima hari lagi, namun suasana lebuh raya masih sibuk dengan kenderaan bertali arus.
Barangkali ada yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung mahupun pergi bercuti. Tambahan pula sudah hujung tahun, cuti tahunan yang tersisa dimanfaatkan sepenuhnya bersama insan tersayang.
Tidak hairanlah jika setiap kali berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah mahupun surau yang disediakan di stesen minyak, suasana begitu sesak hingga sukar untuk berwuduk dan terpaksa menunggu giliran untuk menunaikan solat.
Bagaimanapun, pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir menyenaraikan tiga fiqh solat yang boleh kita amalkan ketika 'terperangkap' di tempat solat yang ramai orang di laman sosial platform X miliknya.
Jelas beliau yang juga penulis buku kerohanian itu, perkara yang dikongsikannya melibatkan fiqh awlawiyyat (keutamaan) jika orang ramai atau sesak.
Berikut perinciannya:
1. Melakukan wuduk ringan.
Ketika berwuduk, tiga kali basuhan hukumnya adalah sunat, bukan wajib. Biasakan ambil wuduk secara ringan terutama bila bermusafir di tempat sesak atau kurang air.
2. Usah panjangkan bacaan solat.
Apatah lagi andai seseorang itu menjadi imam. Janganlah waktu ‘sendat’ sebegitu kita mahu baca surah panjang atau flex (pamerkan) suara sedap.
Tidak kena tempat dan keadaan. Sebaiknya, ringkaskanlah solat supaya orang lain dapat menunaikan kewajipan masing-masing.
3. Zikir selepas solat dan doa merupakan perkara sunat.
Kalaulah nampak orang ramai menunggu, sebaiknya terus bangun dan beri laluan untuk orang lain solat. Andai mahu berzikir atau berdoa, biar ringkas sahaja.
Jangan pula pada waktu itulah hendak berzikir, bermunajat mahupun berdoa panjang. Lebih-lebih lagi ketika akhir waktu solat.
Mengertilah, zikir dan doa itu sunat, tetapi sengaja membuat orang lain terlepas waktu solat itu haram!
Demikian perkongsian Ustaz Addien tentang sebahagian contoh aplikasi yang disebut sebagai fiqh awlawiyyat iaitu mengutamakan prioriti terutama apabila melibatkan maslahat orang ramai.
“Kalau kita faham dan amalkan, akan terlihat nilai cerdik dalam beragama. Sama-sama kita cuba amalkan,” pesannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!