JDT elak boros, sedia lepaskan pemain
PASUKAN Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sedia melepaskan beberapa pemain dan staf teknikal sebagai salah satu penstrukturan semula kelab tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, penstrukturan tersebut penting bagi memastikan kelangsungan kewangan jangka panjang Harimau Selatan.
"Setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk infrastruktur bola sepak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas, JDT perlu membuat penstrukturan kewangan.
"Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30-40 peratus untuk membolehkan proses tersebut berlaku.
"Harimau Selatan akan melakukan transformasi kelab yang akan menyaksikan beberapa perubahan membabitkan kakitangan menjelang musim 2024 dan 2025.
"Ini termasuk para pemain dan staf teknikal yang akan dilepaskan oleh kelab," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pasukan itu.
Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan bahawa JDT akan melepaskan beberapa pemain, antaranya Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid ke pasukan lain.
JDT meraih pulangan hasil perbelanjaan besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini apabila meluaskan penguasaan dalam saingan Liga Malaysia meraih double quadruple muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Skuad Harimau Selatan itu menamatkan saingan Liga Super 2023 dengan 76 mata hasil 25 kemenangan, seri sekali selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan.
JDT turut mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan 100 jaringan semusim, hanya dibolosi tujuh kali selain mendominasi saingan Liga Super untuk tempoh sedekad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!