RM372,000 selesai isu Pasar Moden Bandar Country Homes
RAWANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menggunakan peruntukan disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM372,000 bagi menyelesaikan isu fasiliti di Pasar Moden Bandar Country Homes di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, kerja penyelenggaraan itu termasuk baik pulih bumbung, kerja mengecat dinding, penurapan serta memasang pagar 'anti climb'.
Menurutnya, pasar berkenaan juga sebelum ini berdepan masalah lain termasuk isu gangguan bekalan elektrik dan air, selain isu siling bocor disebabkan struktur bangunan lama.
"Kes kecurian juga pernah dilaporkan berlaku.
"Pada 2019, peruntukan turut dikeluarkan bagi masalah sistem pendawaian elektrik, bekalan air dan baik pulih tandas," katanya pada lawatan kerja ke lokasi tersebut pada Rabu.
Beliau berkata, aduan diselesaikan sedikit demi sedikit untuk keselesaan peniaga dan pengunjung.
Ujarnya, naik taraf pasar berkenaan penting kerana memberikan perkhidmatan kepada penduduk Bandar Country Homes, Kota Emerald dan Saujana Rawang mendapatkan bahan mentah.
"Bulan depan terdapat projek daripada Ahli Parlimen Selayang, William Leong untuk menambah pam dan tangki air bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di sana.
"Anggaran pembiayaan kerja naik taraf itu membabitkan peruntukan RM40,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!