Mat rempit ambang tahun baru kena kepung
BAYAN LEPAS - Lebih 300 penunggang motosikal dikepung dalam Ops Samseng Jalanan sempena malam ambang tahun baru di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis mengeluarkan lebih 400 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, menunggang motosikal secara berbahaya dan ubah suai motosikal yang keterlaluan.
Menurutnya, turut ditahan beberapa remaja bawah umur termasuk 10 penunggang motosikal wanita di kawasan lebuh raya berkenaan awal pagi tadi.
"Seramai 339 penunggang motosikal dan 146 pembonceng motosikal ditahan dalam operasi selama tiga jam yang bermula pada jam 3 pagi tadi.
"Kita juga merampas sembilan motosikal yang ditinggalkan penunggang kerana melarikan diri. Mereka ini disyaki tidak mempunyai lesen atau melakukan kesalahan lain," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.
Anbalagan berkata, kesemua yang ditahan itu akan menjalani ujian saringan air kencing bagi mengesan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Katanya, polis turut memanggil ibu bapa dan waris kepada remaja bawah umur untuk diambil keterangan kerana membiarkan anak-anak keluar pada awal pagi selain membenarkan mereka menggunakan motosikal tanpa mempunyai lesen yang sah.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 42(1) akta yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!